- Iklan -
Berita

Nik Nazmi selar ‘fitnah’, dokumen ‘bocor’ babit projek tebatan banjir RM11 bilion

Surat tiga muka surat yang ditandatangani beliau mengesyorkan syarikat tertentu untuk mendapat kelulusan daripada perdana menteri.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad. Gambar: Bernama
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad. Gambar: Bernama

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad membuat laporan polis berhubung kebocoran dokumen sulit kerajaan dan fitnah yang dibuat ke atas syor kementeriannya supaya syarikat tertentu dianugerahkan melaksanakan projek di bawah Rancangan Tebatan Banjir (RTB).

Laporan ini dibuat selepas salinan surat dari kementerian itu ditandatangani Nik Nazmi melampirkan senarai syarikat yang disyorkannya untuk kelulusan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Anwar Ibrahim bagi kontrak bernilai RM10.9 bilion tersebar di media sosial.

Surat tiga muka surat itu dipercayai pertama kali didedahkan oleh pemberi maklumat dalam talian Edisi Siasat di saluran Telegramnya. 

Dalam surat bertarikh 11 April 2023 itu, Nik Nazmi berkata syarikat berkenaan dipilih kerana “difikirkan mampu memenuhi kriteria pra-kelayakan”daripada kementerian kewangan.

Tender itu adalah untuk kerja-kerja di negeri yang sering dilanda banjir seperti Johor, Pahang, Selangor dan Kelantan.

Namun, Nik Nazmi dalam satu kenyataan membidas apa yang disebutnya sebagai "berniat jahat" yang menuduh beliau dan Anwar meluluskan projek RTB tanpa melalui prosedur sepatutnya.

“Ini secara jelas telah mendorong orang awam yang membaca hantaran tersebut membuat tanggapan bahawa kami menyeleweng dana awam bagi tujuan politik,” tambahnya.

“Sehubungan itu, saya berharap pihak polis dapat mengenal pasti dalang di sebalik tuduhan palsu, fitnah dan kebocoran maklumat sulit kerajaan dengan kadar segera.”

Sebelum ini, Anwar membatalkan kelulusan projek RTB bernilai RM7 bilion yang didakwanya dibuat secara tidak teratur dan dibuat tanpa tender terbuka.

Beliau turut dikritik kerana melengahkan projek-projek itu, terutama apabila Johor dilanda banjir buruk beberapa bulan lalu.

Susulan itu, Anwar yang juga ahli Parlimen Tambun itu berkata beliau akan mempercepatkan projek itu menggunakan kaedah “fast track”.