- Iklan -
Berita

Pendakwaan beri jaminan editor Sarawak Report dapat perbicaraan adil, tiada campur tangan istana

Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman berkata pihak pendakwaan akan memastikan Clare Rewcastle-Brown mendapat perbicaraan yang adil di hadapan Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brow. Gambar: AFP
Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brow. Gambar: AFP

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown yang berdepan pertuduhan memfitnah Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah akan mendapat perbicaraan yang adil sekiranya kes itu dijalankan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman dalam hujahannya berkata ini adalah kerana sepanjang proses pendakwaan kes itu, tiada sebarang campur tangan daripada pihak istana (Terengganu).

Menurut Noor Haslinda pegawai mahkamah yang telah dilantik dalam kes itu juga akan menjalankan tugas dengan adil serta saksama, tidak mengira sama ada kes itu melibatkan pihak istana atau kes kepentingan awam.

“Tidak ada satu keterangan yang konklusif dikemukakan pemohon (Rewcastle-Brown) dalam hujahan mereka yang menunjukkan Mahkamah Majistret berkemungkinan akan bertindak tidak adil dalam pendengaran kes ini.

“Saya percaya kewibawaan hakim bicara tidak perlu dipertikai kerana ia menjurus kepada penghinaan mahkamah. Saya mohon mahkamah menolak permohonan pemohon,” katanya ketika berhujah dalam permohonan Rewcastle-Brown untuk memindahkan kes mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Sultanah Nur Zahirah melalui buku ‘The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose’, dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Selain itu, Noor Haslinda berkata pemohon sepatutnya memfailkan permohonan untuk memindahkan kes itu di Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu bukannya di Mahkamah Tinggi di sini.

“Pemohon seharusnya membuat permohonan itu kepada Majistret sebagai hakim bicara jika terdapat sebarang isu berkaitan Perlembagaan Persekutuan bagi rujukan dibuat ke Mahkamah Tinggi sepertimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 30 Akta Mahkamah Kehakiman 1964,” katanya dan menambah sebutan kes itu ditetapkan Khamis ini di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

Mengenai notis waran tangkap terhadap Rewcastle-Brown bagi membolehkannya hadir di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu supaya pertuduhan dibacakan terhadapnya, Noor Haslinda berkata notis itu diserah melalui Interpol, namun ia gagal diserahkan kepada wanita itu.

Terdahulu, peguam Guok Ngek Seong yang mewakili Rewcastle-Brown berkata anak guamnya memohon untuk memindahkan kesnya ke Mahkamah Tinggi di sini berikutan beliau bimbang kemungkinan terdapat sikap pilih kasih dalam perbicaraan kes itu.

“Pemohon tidak mempersoalkan integriti mahkamah rendah tetapi dia mungkin bimbang tidak mendapat perbicaraan yang adil kerana Mahkamah Majistret berada di negeri yang sama dan laporan polis dibuat terhadapnya oleh pihak istana," kata peguam itu.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim K. Muniandy menetapkan 21 Jun ini bagi keputusan sama ada membenarkan permohonan Rewcastle-Brown atau tidak.

Rewcastle-Brown yang berasal dari United Kingdom didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu secara tanpa kehadiran tertuduh pada 23 September 2021 atas pertuduhan itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.