- Iklan -
Berita

Pembida JPJeBid berang, nombor idaman tak boleh dibida disebabkan VIP?

Terdapat juga aduan tentang kekurangan ketelusan dalam sistem tersebut.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Pembida nombor pendaftaran kenderaan berang kerana tidak dapat mengakses nombor yang mereka inginkan.
Pembida nombor pendaftaran kenderaan berang kerana tidak dapat mengakses nombor yang mereka inginkan.

Pembida-pembida nombor pendaftaran kenderaan berang di media sosial selepas mendapati sistem pembidaan dalam talian (JPJeBid) bertindak menyekat proses membida nombor tanpa diberikan alasan dan penjelasan kukuh oleh pihak bertanggungjawab.

Perkembangan ini menyebabkan mereka berasa ditipu dan dimanipulasi oleh sistem pembidaan dalam talian yang dikendalikan sepenuhnya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selain menyukarkan perniagaan bida nombor plat kenderaan.

Sejak 2019, JPJ memperkenalkan sistem pembidaan dalam talian yang menyaksikan pengguna jalan raya terus bersaing bagi mendapatkan nombor pendaftaran kegemaran mereka.

Bagaimanapun, MalaysiaNow difahamkan para pembida JPJeBid yang teruja menantikan siri pendaftaran huruf “FF” dari Wilayah Persekutuan Putrajaya menjadi hampa apabila berpuluh-puluh nombor pendaftaran idaman mereka disekat.

Bercakap kepada MalaysiaNow, seorang peniaga nombor pendaftaran kenderaan, Wallace Choy dari syarikat Auto Plate Division berkata sekatan terhadap nombor-nombor itu dipercayai berpunca oleh pengaruh golongan “VIP” selain ketidaktelusan sistem yang digunakan untuk membida.

Katanya, boleh jadi golongan tersebut sudah membuat bayaran minima ke atas nombor-nombor tersebut hingga menyaksikan ianya tidak dibuka kepada orang awam untuk dibida.

Menurut Choy, ini menunjukkan seolah-olah mereka membuat bayaran minima sekali gus mendapat layanan istimewa daripada pengendali sistem tersebut.

“Kita pun tak tahu siapa yang sekat nombor-nombor ini malah nombor pendaftaran yang biasa dan bukannya istimewa seperti siri dua digit atau satu digit juga disekat untuk dibida.”

Menurut Choy, situasi tersebut pernah berlaku sebelum ini melibatkan siri huruf pendaftaran kenderaan daripada negeri-negeri tertentu seperti Johor (J) dan Perak (A).

Bagi siri pendaftaran “FF”, terdapat kira-kira lebih 60 nombor sudah disekat untuk dibida secara terbuka dalam JPJeBid.

Jika keadaan ini berulang dan berterusan, kata Choy, kerajaan berisiko berdepan kekurangan hasil negara.

Katanya, apabila nombor-nombor tersebut tidak dibenarkan untuk dibida ianya menjadi satu bentuk ketirisan kepada negara kerana ramai rakyat yang dinafikan hak untuk membida nombor-nombor idaman masing-masing.

“Ini tidak adil sebab asalnya (sistem) mahukan ketelusan tapi banyak nombor tidak boleh dibida. Tetapi selepas siri itu habis dijual, nombor-nombor itu didapati dijual dalam pasaran.

“Dan ianya bukan sekali atau dia kali berlaku. Dah banyak kali jadi begitu. Mula-mula disekat tapi lepas beberapa bulan nombor ini muncul balik.”

Atas sebab itu, beliau menggesa pihak bertanggungjawab terutamanya JPJ dan Kementerian Pengangkutan supaya tampil lebih telus tentang sekatan nombor pendaftaran kenderaan.

Tambahnya, sekiranya terdapat nombor-nombor tertentu sudah disekat dan tidak dibenarkan untuk dibida kepada awam, mereka perlu menjelaskan siapakah di sebalik sekatan itu dan apakah alasan ianya disekat, sebaliknya kini tiada penjelasan kukuh diberikan.

Disebabkan itu, Choy memuji ketelusan sistem pembidaan nombor pendaftaran ketika ianya masih dijalankan secara manual kerana pembida dimaklumkan mengapa terdapat nombor-nombor yang tidak dibenarkan untuk dibida.

“Sistem dulu ketika masih guna kertas A4, (JPJ) ada tulis nombor-nombor ini (tak boleh dibida) kerana ianya untuk kenderaan anggota kerajaan, kenderaan rasmi kerajaan dan sebagainya.

“Jadi, janganlah terus buang nombor-nombor ini dan tak beritahu kenapa ianya tak boleh dibida,” tegasnya.