- Iklan -
Berita

Pengurusan kes rayuan pendakwaan visa luar negara Zahid pada 28 Julai

Tarikh pengurusan kes baharu ditetapkan berikutan permintaan pihak pendakwaan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama

Mahkamah Rayuan menetapkan 28 Julai untuk pengurusan kes bagi rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Pengurusan kes untuk rayuan itu dijalankan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rayuan Nurul Azrina Mohamed Yusof hari ini yang menetapkan tarikh pengurusan kes baharu itu.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik, ketika dihubungi Bernama, mengesahkan tarikh pengurusan kes selanjutnya ditetapkan berikutan permohonan pihak pendakwaan untuk tarikh lain bagi Jabatan Peguam Negara menimbangkan representasi Zahid untuk pihak pendakwaan menghentikan rayuannya.

Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Rayuan pada 26 Sept tahun lepas terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan dan melepaskan Zahid, yang kini timbalan perdana menteri, daripada semua pertuduhan selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Presiden Umno itu mengaku tidak bersalah atas 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya sebagai menteri dalam negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan sistem VLN, serta mengekalkan kontraknya dengan Kementerian Dalam Negeri untuk membekalkan sistem bersepadu VLN. 

Mengikut pertuduhan, Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Beliau juga didakwa atas 33 pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, iaitu beliau didakwa atas kapasitinya sebagai menteri dalam negeri menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta berhubung sistem VLN antara 2014 dan 2017.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa memperoleh untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada syarikat sama yang diketahui mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau.

Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Country Heights Kajang antara Jun 2015 dan Oktober 2017.  

Dalam petisyen rayuan difailkan pada 29 Dis tahun lepas, pihak pendakwaan mengemukakan 14 alasan tertumpu kepada dapatan fakta dan undang-undang yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi mengenai persoalan sama ada berlakunya pemberian dan penerimaan wang secara rasuah dalam kes tersebut.