- Iklan -
Berita

Loke mahu jumpa Azam dapatkan penjelasan pendedahan salah laku

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pertemuan dengan Azam merupakan langkah awal sebelum sebarang tindakan diambil terhadap mana-mana pegawai atau kakitangan yang mungkin terlibat.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pengangkutan Anthony Loke. Gambar: Bernama
Menteri Pengangkutan Anthony Loke. Gambar: Bernama

Menteri Pengangkutan Anthony Loke akan berjumpa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki bagi mendapatkan penjelasan mengenai laporan pendedahan salah laku kakitangan sebuah agensi di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT).

“Saya tiada maklumat sebab ini laporan media, namun sebab beliau (Azam) ada sebut tentang agensi dan jabatan di bawah MOT, saya akan pohon janji temu dengan KP SPRM untuk bertemu beliau dan dapatkan laporan lanjut,” katanya kepada pemberita mengulas laporan akhbar mengenai isu itu selepas menghadiri Majlis Simpulan Kasih Malaysia Madani MOT di Putrajaya hari ini.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan pendedahan Azam yang menyebut beberapa agensi kerajaan mengabaikan lebih 500 laporan salah laku membabitkan kakitangan mereka, walaupun SPRM telah mengesyorkan untuk mengambil tindakan, antaranya melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), jabatan keagamaan dan hospital.

Loke berkata pertemuan dengan Azam merupakan langkah awal sebelum sebarang tindakan diambil bagi berlaku adil terhadap mana-mana pegawai atau kakitangan yang mungkin terlibat, selain tidak menuding jari serta-merta tanpa bukti kukuh.

Langkah lain yang akan dilaksanakan antaranya ialah mendapatkan senarai nama kakitangan dan kes melibatkan mereka, katanya.

"Saya tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku di bawah MOT serta akan bekerjasama penuh sekiranya laporan salah laku berkenaan mempunyai bukti kukuh," katanya yang memandang serius laporan pendedahan Azam itu.