- Iklan -
Berita

2 produk mi segara buatan Malaysia, Indonesia selamat dimakan, kata KKM

Kementerian itu sudah melaksanakan enam tahap pemeriksaan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang pekerja menyusun paket mi segera Indomie Perisa Ayam Spesial di rak sebuah pasar raya di Jakarta, Indonesia, 26 April. Gambar: Reuters
Seorang pekerja menyusun paket mi segera Indomie Perisa Ayam Spesial di rak sebuah pasar raya di Jakarta, Indonesia, 26 April. Gambar: Reuters

Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan produk Mi Kari Putih Penang Ah Lai dan Mi Segera Perisa Ayam Special jenama Indomie yang dikesan mengandungi etilena oksida mematuhi perundangan yang ditetapkan dan selamat untuk dimakan.

Menurut KKM mereka sudah melaksanakan enam tahap pemeriksaan di pintu masuk berdasarkan risiko bagi makanan yang diimport.

“Bagi pemeriksaan Tahap 5 iaitu Tahan, Uji dan Lepas (TUL), produk makanan yang masuk ke negara ini akan ditahan dan dianalisis terlebih dahulu.

“Hanya produk makanan yang memenuhi standard sahaja yang dilepaskan untuk pasaran Malaysia,” menurut KKM dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook.

Bulan lepas, dua jenis mi segera itu ditarik balik di pasaran Taiwan dan Malaysia selepas ia dikesan mengandungi bahan yang mendorong penyakit kanser, etilena oksida.

Etilena oksida yang juga sebatian kimia dikaitkan dengan penyakit limfoma dan leukemia.

Bagaimanapun, pengawal selia makanan Indonesia mempertahankan produk mi segera jenama Indomie yang popular di negara itu.

Agensi Pengawasan Ubat dan Makanan Indonesia (BPOM) berkata, mi segera Indomie Perisa Ayam Spesial yang dijual di Indonesia adalah selamat untuk dimakan kerana memenuhi piawaian keselamatannya.

Dalam pada itu, KKM berkata sejumlah 317 pensampelan bagi tujuan TUL dijalankan untuk tempoh 2022 hingga April 2023 dan daripada jumlah tersebut 37 atau 11.67% merupakan pensampelan TUL ke atas produk mi segera pelbagai jenama bagi parameter etilena oksida.

“Bagi mana-mana produk yang didapati tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan KKM bekerjasama dengan syarikat yang terbabit untuk memastikan semua produk yang terlibat ditarik balik daripada pasaran,” tambahnya.

“KKM ingin menegaskan produk yang berada di pasaran tempatan telah melalui prosedur yang ditetapkan dan selamat.

“KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam pengguna.”

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi