- Iklan -
Berita

Tidak mustahil untuk PN tawan Selangor, kata Azmin

Ia berdasarkan prestasi PN di Selangor pada PRU15.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Selangor Mohamed Azmin Ali.
Pengerusi Perikatan Nasional Selangor Mohamed Azmin Ali.

Perikatan Nasional (PN) yakin mampu menawan Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang berdasarkan prestasi gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Mohamed Azmin Ali.

Pengerusi PN Selangor itu berkata, sasaran gabungan itu untuk memenangi 33 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor sesuatu yang boleh dicapai.

Bekas menteri besar Selangor itu berkata, berdasarkan tangkap layar yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PN sudah menang di 14 kerusi DUN manakala terdapat sembilan kerusi yang mana gabungan itu tewas kurang daripada 5,000 undi.

"Bukan semua, ada yang hanya 100 undi sahaja. Ada 2 hingga tiga kerusi kurang daripada 3,000 majoriti.

"Maknanya  kita perlukan dalam 1,000 hingga 2,000 undi sokongan dan dengan situasi semasa, yakin kerusi-kerusi ini boleh ditawan PN," katanya kepada pemberita di Gombak, Selangor hari ini.

Azmin berkata, kiraan itu bermakna sudah 23 kerusi DUN sudah berada dalam tangan PN, menjadikan sasaran untuk mencapai 30 kerusi atau lebih adalah satu perkara yang tidak mustahil.

Dari aspek pembahagian kerusi, Azmin berkata, perbincangan PN di peringkat negeri sudah selesai dan ia sudah dibentangkan di peringkat pusat sebelum perayaan Aidilfitri.

"Kita telah hampir selesai, saya boleh katakan hampir semua kerusi telah dibentangkan dan akan diputuskan pimpinan pusat.

"Keputusan akan diumumkan pada masa sesuai," kata Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa.

Azmin turut menambah, manifesto PRN PN bagi negeri Selangor akan menumpukan kepada isu-isu rakyat seperti kos sara hidup, ekonomi dan pelaburan yang mana ia akan dibentangkan dalam masa terdekat.

"Antara isu-isu yang akan dibahaskan ialah kos sara hidup dan bagaimana PN mampu menangani dan selesaikan isu ini apabila diberikan mandat oleh rakyat,” katanya.