- Iklan -
Berita

Bicara kes saman RM42 juta SRC International terhadap Najib bermula Januari 2025

Bekas perdana menteri itu berdepan tuduhan pecah amanah dan pelanggaran kewajipan statutori.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak.
Bekas perdana menteri Najib Razak.

Perbicaraan kes saman SRC International Sdn Bhd terhadap Najib Razak berhubung dakwaan pecah amanah dan pelanggaran kewajipan statutori berkaitan dana SRC RM42 juta akan bermula Januari 2025 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Peguam Kwan Will Sen mewakili SRC dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd (GMSB) selaku plaintif ketika dihubungi pemberita berkata kes itu akan didengar Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan.

“Tarikh perbicaraan ditetapkan pada 13 hingga 17 dan 20 hingga 24 Jan 2025 manakala Februari pada 12 hingga 14, 17 hingga 21 dan 24 hingga 26,” kata peguam itu.

Menurut Kwan, pada pengurusan kes di hadapan Raja Ahmad Mohzanuddin Shah secara dalam talian hari ini, mahkamah menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 4 Ogos depan untuk pihak-pihak mengemas kini status perbicaraan.

SRC, anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan GMSB, memfailkan writ saman pada 7 Mei 2021, mendakwa bekas perdana menteri itu sebagai defendan melakukan pecah amanah, menyalah guna kuasa dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana berkenaan.

Najib adalah Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.

Plaintif antara lain menuntut deklarasi bahawa plaintif berhak mengikuti dan mengesan wang RM42 juta itu dan menuntut hak milik ekuiti ke atas wang berkenaan atau sebarang harta yang diperoleh Najib dengan menggunakan wang berkenaan selain menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk.