- Iklan -
Berita

Selepas Amanah dan Muda, kini ahli PKR kecam isu pengampunan Najib

Ketua Pemuda PKR Cabang Bukit Bendera Amir Syamimi Hashim menganggap gesaan membebaskan Najib oleh penyokong bekas Perdana Menteri itu sebagai pemikiran 'dua darjat'.

Azzman Abdul Jamal
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 17 April. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 17 April. Gambar: Bernama

Selepas parti Amanah dan Muda menyuarakan pandangan terhadap isu pengampunan Najib Razak, kini Pemuda PKR tampil bersuara dan menyifatkan gesaan membebaskan bekas perdana menteri itu oleh penyokongnya sebagai pemikiran “dua darjat”.

Ketua Pemuda PKR Cabang Bukit Bendera, Amir Syamimi Hashim dalam satu kenyataan mempersoalkan rasionalnya gesaan pembebasan Najib yang didapati terlibat melakukan rasuah dan penyalahgunaan kuasa sedangkan lebih ramai lagi individu melakukan jenayah lebih kecil terpaksa menjalani hukuman penuh.

Katanya, gesaan itu juga akan dilihat sebagai cubaan melindungi kesalahan Najib daripada tindakannya.

"Mereka yang mencuri motosikal atau barangan lain atas keperluan, ataupun mengambil dadah kerana ketagihan, tidak berpeluang diberikan pengampunan," katanya.

"Akibatnya keluarga mereka menderita ekoran daripada pemenjaraan mereka. Tambahan pula, mereka tidak dapat mencari pekerjaan yang baik selepas dibebaskan kerana stigma yang dikaitkan dengan rekod jenayah.

"Sebaliknya, Najib yang disabitkan dengan pelbagai pertuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa meminta diberikan layanan istimewa."

Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos tahun lalu apabila Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah terhadap kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.

Permohonan beliau untuk mendapatkan semakan kehakiman berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan pada 31 Mac lalu turut ditolak, menjadikan pilihan terakhirnya untuk dibebaskan adalah menerusi pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dalam pada itu, Amir menegaskan sebarang cubaan menggunakan tekanan politik untuk mempengaruhi keputusan kes jenayah perlu ditolak dan menyerahkan ia kepada kedaulatan undang-undang, prinsip dan etika.

"Sudah pasti kita tidak menyokong penjenayah dan perasuah.

"Bagaimanapun, kita harus memastikan bahawa semua individu dilayan secara sama rata dan adil mengikut undang-undang," katanya.