- Iklan -
Berita

KKM berharap kertas putih kesihatan dapat sokongan penuh

Kertas Putih Kesihatan itu dijangka dibentangkan di Parlimen pada Jun depan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berucap pada Sesi Townhall Kertas Putih Kesihatan Zon Utara di Georgetown hari ini. Gambar: Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berucap pada Sesi Townhall Kertas Putih Kesihatan Zon Utara di Georgetown hari ini. Gambar: Bernama

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berharap Kertas Putih Kesihatan yang bakal menjadi permulaan perjalanan reformasi sistem kesihatan Malaysia ke arah yang lebih mampan dan berdaya saing, akan mendapat sokongan seluruh masyarakat dan kerajaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata Kertas Putih Kesihatan dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada Jun 2023 untuk mendapatkan sokongan dwipartisan ahli Parlimen sebelum langkah-langkah pelaksanaannya dapat dijalankan. 

"Dari segi konsep, ia telah pun lengkap serta merangkumi segala aspek kesihatan tapi kita perlu mula untuk mengoptimumkan strategi dan perancangan dari sekarang.

"Kita berharap ia mendapat sokongan penuh kerana usaha ini bukan membabitkan KKM sahaja. Ia memerlukan usaha masyarakat dan kerajaan secara menyeluruh untuk menjadikan sistem kesihatan Malaysia lebih cekap," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Townhall Kertas Putih Kesihatan Zon Utara di Georgetown hari ini.

Tambahnya, antara isu yang dibangkitkan tertumpu kepada penambahbaikan perkhidmatan sistem kesihatan negara yang sering menghadapi kesesakan, antaranya, di kecemasan dan pusat-pusat kesihatan. 

Selain itu, Radzi berkata KKM juga berusaha untuk mengubah pendekatan masyarakat iaitu daripada mendapatkan rawatan perubatan kepada kesejahteraan menyeluruh dengan mengetengahkan langkah-langkah pencegahan.

Seterusnya beliau berkata Kertas Putih Kesihatan juga akan menumpu kepada kekangan pembiayaan kesihatan apabila peningkatan drastik terhadap permintaan perkhidmatan kesihatan serta kenaikan kos perubatan telah menggugat kemampanan pembiayaan penjagaan kesihatan.