- Iklan -
Berita

BN, PH tidak mahu tergopoh-gopoh dalam pembahagian kerusi, kata Zahid

Pendekatan itu juga diambil bagi mengelakkan pertembungan atau sebarang permasalahan yang mungkin timbul.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid hamidi ketika berucap di Kuala Lipis, 1 Mei. Gambar: Bernama
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid hamidi ketika berucap di Kuala Lipis, 1 Mei. Gambar: Bernama

Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mengambil pendirian 'tidak tergopoh-gopoh' dalam pembahagian kerusi untuk enam pilihan raya negeri (PRN) nanti, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. 

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata pendekatan itu juga diambil bagi mengelakkan pertembungan atau sebarang permasalahan yang mungkin timbul, jika calon yang dipilih tidak dapat memberikan kemenangan pada pilihan raya nanti. 

Selain itu katanya rundingan pembahagian kerusi antara parti dalam Kerajaan Perpaduan juga melibatkan 'prosedur' iaitu perbincangan antara BN dan PH di peringkat negeri sebelum ke peringkat nasional untuk dimuktamadkan setelah perundingan dilakukan dengan presiden parti-parti komponen dalam BN dan PH. 

"Soal yang kami utamakan ialah bagaimana pembahagian kerusi itu bukan sahaja dibuat atas rasa kesaksamaan tetapi juga tentang kebolehmenangan. Kita merasakan bahawa bukan sahaja soal kemenangan, tetapi (juga) soal penerimaan pengundi dan ‘likeable’ seseorang calon, iaitu yang disukai dan sesuai dengan cita rasa pengundi di kawasan berkenaan. 

"Lagipun kita mempunyai masa yang agak panjang, mungkin sehingga Julai atau awal Ogos untuk kita hadapi kempen PRN secara rasmi," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan Umno Pahang di Laman Sejahtera Sungai Koyan di Kuala Lipis hari ini.  

Turut hadir ialah Menteri Besar yang juga Pengerusi Umno Pahang Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan kepimpinan Umno peringkat nasional dan peringkat negeri. 

Zahid berkata demikian sebagai mengulas dakwaan bahawa pembahagian kerusi antara BN dan PH bagi menghadapi PRN di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan agak ketinggalan berbanding Perikatan Nasional (PN) yang dilaporkan sudah selesai antara 85% ke 90%. 

Ditanya mengenai pandangan segelintir pihak bahawa PN mempunyai peluang di Selangor dan Negeri Sembilan, Zahid yang juga presiden Umno berkata pihaknya tidak boleh memandang ringan andaian itu.

"Bukan sahaja (ambil ringan) di Selangor, tetapi di semua negeri yang akan menghadapi PRN ini," katanya dan menambah keputusan boleh berpihak kepada parti dalam Kerajaan Perpaduan jika kombinasi antara parti menggerakkan jentera secara terselaras dan memberikan penerangan yang tepat kepada pengundi.

Mengulas jika BN akan membuat perubahan pada senarai calon di enam PRN itu bagi memastikan calon mereka adalah 'likeable', Zahid tidak menolak kemungkinan itu berdasarkan pencapaian dan pengalaman pada PRN di Melaka dan Johor. 

"BN (di Melaka dan Johor) mengemukakan muka-muka baharu... kita lihat di Melaka hampir 80 peratus dan begitu juga di Johor iaitu lebih 70%. Ertinya kita amat komited untuk terus meremajakan Umno, BN dan memberi peluang kepada kumpulan pelapis untuk berada di persada kepimpinan negeri melalui pemilihan sebagai calon Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)," katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.