- Iklan -
Berita

Lelaki di sebalik potret hari raya

Amirul Danial berkata, ucapan terima kasih yang diterima daripada pelanggan adalah satu hadiah buatnya.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Hasil karya Amirul Danial di biliknya, menukar gambar keluarga menjadi lukisan untuk Hari Raya Aidilfitri. Gambar: Instagram
Hasil karya Amirul Danial di biliknya, menukar gambar keluarga menjadi lukisan untuk Hari Raya Aidilfitri. Gambar: Instagram

Tidak seperti anak muda yang lain, sambutan hari raya Aidilfitri buat Amirul Danial lebih bermakna dengan tempahan dari para pelanggannya yang mahukan sentuhan seni halus pemuda itu melukis potret keluarga sempena musim perayaan ini. 

Di bilik tidurnya, pemuda berusia 28 tahun itu menyusun atur pensel berwarna-warni, kertas lukisan, warna air dan bermacam lagi peralatan yang diperlukan sebelum memulakan rutin melukisnya.

Amirul menyifatkan potret sebagai lukisan yang dilukis paling hampir dan mirip dengan gambar sebenar. 

Disebabkan itu, lazimnya lukisan-lukisan potret dihasilkan dengan amat teliti dan halus oleh artis serta pengkaryanya. 

"Dan ketepatan sesebuah lukisan itu bergantung kepada pengkarya itu sendiri. 

"Berbeza dengan lukisan secara 'sketching' yang lebih dilukis kasar dan ada juga secara halus." 

Bercerita lebih lanjut, anak jati Ipoh, Perak itu berkata kebanyakan lukisan yang ditempah pada musim Aidilfitri bersifat kekeluargaan dan kebahagiaan seperti permintaan untuk melukis gambar anak-anak kecil, ibu bapa dan suami isteri. 

Manakala tempoh tempahan lukisan potret untuk siap juga bergantung kepada jenis gambar, bilangan subjek dalam gambar dan faktor masa yang diberikan sepanjang proses tersebut. 

Anak bongsu daripada enam beradik itu sudah mula berkarya sejak di bangku sekolah ketika berumur 14 tahun. 

Katanya, semuanya bermula dengan jenaka bersama rakan-rakan sekelas dengan melukis gambar mereka secara spontan dan untuk "suka-suka". 

Tanpa dia sedari, sikap itu kemudiannya bertukar menjadi rutin dan semangat untuk terus melukis. 

"Mungkin salah satu faktor minat ini terus terdorong juga kerana kedua ibu bapa saya terutamanya ibu yang sangat rajin memasuki peraduan melukis potret ketika di usia mudanya." 

Sehingga kini, dia memasang hasrat dan impian untuk memiliki studio miliknya sendiri selain menjadikan pelukis potret Heather Rooney sebagai inspirasi dan idola dalam perjalanan seninya. 

Tersenyum melihat gambar 

Ketika ditanya, apakah bentuk kenangan dan pengalaman suka duka sepanjang menjadi insan di sebalik lukisan potret keluarga, Amirul berkongsi dua kisah yang dianggap paling peribadi dalam hidupnya. 

Pertamanya ketika menerima "imbuhan" tambahan daripada nilai upah yang dinyatakan daripada pelanggannya sebagai tanda terima kasih dan penghargaan kerana menyuarakan potret keluarga mereka. 

Menurut Amirul, sebagai pengkarya dia merasakan ianya satu pengalaman yang mengujakan dan merasa sangat dihargai melalui hadiah yang tak pernah disangka itu. 

"Itu adalah sesuatu yang sukar untuk diekspresikan kerana penghargaan itu mungkin tidak akan dapat selalu dalam hidup." 

Keduanya, Amirul memberitahu dirinya menjadi emosi apabila menerima tempahan dan kemudiannya dimaklumkan bahawa dia sedang melukis ahli keluarga seseorang yang sudah meninggal dunia untuk diabadikan dalam satu potret. 

Amirul sendiri yang sudah kehilangan ayah pada usia yang masih kecil boleh memahami dan merasai hakikat "peritnya" kehilangan orang yang tersayang.

"Saya rasakan ia seperti satu tanggungjawab kepada saya untuk melihat pelanggan-pelanggan saya berpuas hati melihat wajah orang tersayang mereka seperti wujud dalam suasana raya yang baru."