- Iklan -
Berita

Penduduk Rohingya di Pulau Pinang dihalau dari rumah menjelang Aidilfitri

UNHCR Malaysia berkata kumpulan itu tinggal di sana selama hampir sedekad dan bergaul baik dengan penduduk tempatan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Sebuah rumah di sebuah perkampungan di Pulau Pinang yang sebelum ini menjadi tempat berteduh buat masyarakat Rohingya kini kosong selepas komuniti itu dihalau oleh sekumpulan kecil penduduk tempatan. Gambar: Facebook UNCHR Malaysia
Sebuah rumah di sebuah perkampungan di Pulau Pinang yang sebelum ini menjadi tempat berteduh buat masyarakat Rohingya kini kosong selepas komuniti itu dihalau oleh sekumpulan kecil penduduk tempatan. Gambar: Facebook UNCHR Malaysia

Komuniti pelarian Rohingya yang tinggal di sebuah perkampungan di pedalaman Pulau Pinang dihalau dari rumah mereka oleh penduduk tempatan hanya seminggu sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menyifatkan insiden itu sebagai "tragedi yang boleh dielakkan sama sekali".

Lebih 50 pelarian termasuk kanak-kanak dan warga emas terpaksa meninggalkan kampung itu "tanpa sebarang amaran" oleh sekumpulan kecil penduduk tempatan, kata UNHCR Malaysia dalam catatan di Facebook yang turut memaparkan gambar sebuah rumah kosong. 

"Rumah di perkampungan di pedalaman Pulau Pinang ini adalah rumah kepada keluarga pelarian Rohingya. Seminggu sebelum sambutan Aidilfitri, rumah ini sepatutnya riuh rendah dengan kanak-kanak teruja menunggu perayaan, keluarga membuat persiapan menjelang penghujung Ramadan.

"Namun, rumah ini kini sunyi dan kosong, bersama-sama dengan beberapa kediaman keluarga pelarian Rohingya lain di kampung ini," katanya.

Menurut UNHCR Malaysia, masyarakat Rohingya sudah tinggal di kawasan itu selama hampir sedekad.

Setakat ini, badan pelarian itu dengan kerjasama rakan NGO lain sedang meneliti apa sebenarnya yang berlaku.

“Jiran tetangga memberitahu kami bahawa masyarakat Rohingya telah tinggal di sini selama hampir 10 tahun dan tidak menimbulkan sebarang masalah, mereka bergaul baik, malah bertutur dalam bahasa Melayu dengan dialek tempatan.

"Lazimnya, ini adalah pengalaman biasa bagi kebanyakan rakyat Malaysia yang tinggal berdekatan dengan pelarian," katanya.

Malaysia dikatakan menempatkan lebih 100,000 pelarian Rohingya dari Myanmar yang melarikan diri dari tindakan kejam negara asal mereka. 

Kebimbangan baru-baru ini dibangkitkan mengenai sentimen anti-Rohingya yang tersebar dalam talian, dengan kumpulan hak asasi manusia Lawyers for Liberty (LFL) menggesa kerajaan supaya campur tangan.

"Rohingya adalah kumpulan yang mudah terdedah kepada bahaya. Mereka adalah pelarian yang terpaksa meninggalkan negara kerana bimbang akan ancaman keselamatan nyawa mereka, tanpa dokumen tanpa kewangan yang stabil kerana tidak dapat bekerja, yang kini bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan gangguan daripada pihak penguatkuasa yang tidak bertanggungjawab, tetapi mesti juga menangani sentimen xenofobia yang semakin meningkat daripada penduduk.

“Terdapat risiko jika sentimen ini tidak dipadamkan, mereka akan berdepan ancaman yang nyata oleh individu yang tersilap melihatnya sebagai ancaman kepada masyarakat Malaysia," kata LFL dalam satu kenyataan pada 13 April lalu.

UNHCR Malaysia berkata pelarian Rohingya di Pulau Pinang dipaksa keluar dari rumah mereka "tanpa provokasi", malah badan berkenaan turut melahirkan rasa terkejut kerana perkara seperti itu berlaku pada bulan Ramadan.

"Tragedi ini boleh dielakkan dengan dialog dan persefahaman. Pelarian ini adalah mangsa yang tidak bernasib baik dan sikap tidak bertoleransi," tambahnya.

"Ketika keluarga Islam di seluruh dunia bersiap sedia untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri, harapan kami untuk keluarga pelarian Rohingya ini, dan untuk keluarga pelarian di mana-mana, ialah mereka mencari tempat yang selamat dan belas kasihan untuk pulang."