- Iklan -
Berita

Tengku Zafrul dilantik bendahari Umno Selangor

Abdul Mutalif Abdul Rahim pula dilantik sebagai setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri dan Mohd Zaidi Md Zain sebagai ketua penerangan negeri.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz. Gambar: Bernama
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz. Gambar: Bernama

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz dilantik sebagai bendahari Badan Perhubungan Umno Selangor.

Badan Perhubungan Umno Selangor dalam kenyataan memaklumkan Pengerusinya Megat Zulkarnain Omardin turut melantik Abdul Mutalif Abdul Rahim sebagai setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri dan Mohd Zaidi Md Zain sebagai ketua penerangan Badan Perhubungan Umno negeri. 

Pelantikan itu dibuat semasa mesyuarat pertama Badan Perhubungan Umno negeri itu semalam, selepas pemilihan parti selesai pada 18 Mac lepas.

Mesyuarat itu juga mengambil ketetapan iaitu Umno Selangor akan terus mendukung Kerajaan Perpaduan Malaysia dan komited untuk memastikan keutuhan kerjasama dalam kerajaan ini demi kestabilan negara.

Menurut kenyataan itu, Umno Selangor mengambil maklum perjalanan Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia dan akan mewujudkan Jawatankuasa Kerajaan Perpaduan Peringkat Negeri dalam masa terdekat serta mengadakan program bersama pimpinan Kerajaan Negeri.

Selain itu Umno Selangor turut memutuskan rangka kerja dalam penyediaan jentera di setiap peringkat dan memulakan gerakan di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) serta meneruskan perundingan bersama Pakatan Harapan Selangor dalam menentukan pengagihan kerusi-kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Selangor.

Mesyuarat tersebut juga menyatakan bahawa Umno Selangor sebulat suara bersetuju dan menandatangani memorandum untuk memohon agar kepimpinan tertinggi Umno membela bekas Presiden Umno Najib Razak yang banyak berjasa kepada negara.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.