- Iklan -
Berita

Fuad A Kiram diklasifikasikan sebagai pengganas

Fuad A Kiram adalah salah seorang daripada lapan individu yang mendakwa dirinya sebagai waris Kesultanan Sulu yang membuat tuntutan terhadap Sabah, termasuk beberapa aset Malaysia di luar negara.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEU) Jabatan Perdana Menteri Khairul Dzaimee Daud. Gambar: Bernama
Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEU) Jabatan Perdana Menteri Khairul Dzaimee Daud. Gambar: Bernama

Salah seorang penuntut daripada Kumpulan Sulu yang dikenali sebagai Fuad A Kiram telah diklasifikasikan sebagai pengganas, kata Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEU) Jabatan Perdana Menteri Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata Fuad telah disenaraikan dalam entiti yang diklasifikasi sebagai pengganas di bawah Seksyen 66B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 berkuat kuasa 6 April lepas.

“Kementerian Dalam Negeri telah memaklumkan bahawa seorang penuntut Fuad A Kiram yang juga salah seorang pengasas Royal Sulu Force iaitu satu kumpulan pengganas, telah diklasifikasikan sebagai entiti pengganas oleh kerajaan,” katanya dalam satu taklimat media di Putrajaya semalam.

Fuad atau nama sebenarnya Muhammad Fuad Abdullah Kiram, 69, merupakan salah seorang yang daripada lapan individu yang mendakwa waris Kumpulan Sulu dan sedang membuat tuntutan terhadap Sabah termasuk beberapa aset milik Malaysia di luar negara. 

Pada Februari tahun lepas,  agensi berita di Sepanyol melaporkan penimbang tara negara itu Dr Gondoza Stampa telah mengarahkan Malaysia membayar pampasan sebanyak AS$14.92 (RM62.59 bilion) kepada waris Sultan Sulu.  

Malaysia didakwa tidak membayar wang pemisah atau pampasan berjumlah RM5,300 setahun sejak 2013 yang dikatakan telah melanggar Perjanjian 1878 yang ditandatangani Sultan Jamal Al-Alam dengan Baron De Overbeck dan Alfred Dent mewakili syarikat British Utara Borneo.

Terdahulu pada majlis sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata tuntutan berkenaan melalui timbang tara komersial serta prosiding terhadap Malaysia dibiayai oleh dana litigasi dikenali sebagai Therium untuk menuntut sebanyak US$14.9 bilion daripada Malaysia.

Azalina juga berkata fakta kes tuntutan Kumpulan Sulu itu adalah tidak begitu kukuh kerana sehingga kini belum diketahui sama ada mereka yang membuat tuntutan itu benar-benar waris Sultan Jamalul Kiram II.

Beliau berkata tuntutan pihak Sulu terhadap Malaysia juga mengabaikan kehendak rakyat Sabah  untuk membentuk  Malaysia pada 1963 seperti yang dilaporkan oleh Suruhanjaya Cobbold.