- Iklan -
Berita

Sukar haramkan tabiat rokok, kata Anwar di sebalik bantahan pakar nyahsenarai nikotin

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa rang undang-undang generasi ‘end-game’ akan dibentangkan pada Mei, di tengah-tengah bantahan terhadap nyahsenarai cecair atau gel nikotin sebagai bahan kawalan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok akan dibentangkan pada Mei ini.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok akan dibentangkan pada Mei ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini berkata adalah sukar untuk kerajaan mengharamkan tabiat merokok dalam kalangan rakyat.

Beliau, bagaimanapun memberi jaminan bahawa rang undang-undang generasi “end-game” bagi mengharamkan tabiat itu dalam generasi muda akan dibentangkan pada Mei, di tengah-tengah bantahan berhubung langkah kerajaan menyahsenarai cecair atau gel nikotin sebagai bahan beracun baru-baru ini.

Bercakap di Dewan Rakyat, Anwar berkata mengharamkan tabiat merokok juga akan dianggap sebagai tindakan drastik.

"Ada kewajaran kita ambil tindakan memberi kesedaran tetapi tindakan ekstrem mengharamkan vape dan rokok tidak mampu dikendalikan mana-mana negara di dunia.

"Sementara kita kempen tentang kesan-kesan negatif, kita teruskan dengan percukaian sekadar tidak menjadi bahan itu tidak tersebar luas," katanya ketika menjawab soalan daripada Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat).

Yunus ingin tahu apakah kerajaan tidak merasakan generasi muda digadaikan kepada ketagihan dan penyakit berkaitan rokok susulan keputusan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa mengecualikan nikotin  daripada Akta Racun 1952.

Keputusan berkenaan tetap dilaksanakan meskipun bertentangan dengan keputusan sebulat suara Lembaga Racun.

Anwar mengakui semua badan kesihatan menentang keputusan itu namun menegaskan, sukar untuk kerajaan mengharamkan tabiat merokok.

"Ulama mengharamkan rokok tetapi ia masalah yang berlaku ribuan tahun. 

“Pendekatan kita agak sederhana iaitu mengenakan cukai."

Bagaimanapun, Anwar berkata kerajaan tetap akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 pada sesi Parlimen Mac ini.

"Kelewatan itu saya mohon maaf kerana ramai ahli Parlimen minta kaji semula beberapa peruntukan.

“Bukan menolak sama-sekali," katanya.

Cukai cecair vape dilaksanakan pada 1 April lepas membabitkan kadar 40 sen setiap mililiter cecair.

Ia diumum semasa pembentangan Belanjawan 2023 pada tahun lalu.

Sebanyak 50% daripada duti berkenaan akan disalurkan kepada Kementerian Kesihatan.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi