- Iklan -
Berita

Pemimpin PAS, Umno sertai bantahan pakar kesihatan berhubung langkah nyahsenarai cecair nikotin

Mereka memberi amaran kepada kerajaan supaya tidak hanya mengutamakan hasil semata-mata tanpa melihat bahan tersebut mudah didapati di pasaran.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Kementerian Kesihatan baru-baru ini bertindak untuk menyahsenarai cecair nikotin sebagai bukan lagi bahan kawalan, mencetuskan kebimbangan kumpulan kesihatan yang memberi amaran tentang kesan jangka panjang kepada orang awam.
Kementerian Kesihatan baru-baru ini bertindak untuk menyahsenarai cecair nikotin sebagai bukan lagi bahan kawalan, mencetuskan kebimbangan kumpulan kesihatan yang memberi amaran tentang kesan jangka panjang kepada orang awam.

Dua doktor perubatan dari PAS dan Umno menyertai kritikan terhadap langkah kerajaan menyahsenarai cecair nikotin sebagai bukan lagi bahan kawalan.

Mereka mengulangi amaran daripada kumpulan aktivis anti-tembakau dan pakar perubatan bahawa keputusan itu akan membawa kepada krisis kesihatan dengan golongan muda kini lebih mudah mendapatkan produk vape.

Exco Kelantan yang bertanggungjawab terhadap kesihatan dari PAS, Dr Izani Husin menyifatkan keputusan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa sebagai “detik kelam bagi negara” meskipun mendapat bantahan keras daripada pengamal perubatan.

"Tindakan ini telah membenarkan penjualan rokok elektronik (e-cig) atau vape secara berleluasa, sama ada kepada belia ataupun pelajar tanpa kawalan,” katanya.

Beliau menggesa supaya menteri membatalkan keputusan itu.

“Kami mengimpikan satu generasi pelapis bebas rokok dan dadah yang bakal menerajui tampuk kepimpinan negara kelak,” katanya.

Persatuan Ahli Farmasi Malaysia adalah antara kumpulan yang menentang penyahsenaraian cecair dan gel nikotin – bahan utama untuk produk vape.

Mereka melihat ia sebagai satu langkah untuk memudahkan cukai vape baru seperti diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2023. 

Majlis Kawalan Tembakau Malaysia memberi amaran bahawa kanak-kanak kini boleh menghisap vape secara sah. 

"Anda boleh membeli vape seperti membeli karipap sekarang," kata pengerusinya Dr M Murallitharan seperti dilaporkan New Straits Times. 

Sementara itu, kumpulan kesihatan awam Galen Centre for Health and Social Policy menyelar langkah itu sebagai "regresif luar biasa", sambil menambah bahawa kerajaan terdesak menjana lebih banyak hasil daripada kos kesihatan awam.

Izani berkata cukai vape menunjukkan kerajaan tidak bimbang tentang kesan jangka panjang terhadap kesihatan rakyat, sambil menambah ia juga bertentangan dengan pelbagai usaha Kementerian Kesihatan untuk membendung ketagihan nikotin di Malaysia.

“Kesan nikotin ternyata bukan sahaja menyebabkan ketagihan, bahkan kajian menunjukkan pendedahan otak kepada nikotin semasa remaja amat berbahaya kerana zaman remaja adalah peringkat kritikal perkembangan otak dan berisiko untuk mencuba bahan-bahan terlarang yang menjurus kepada penyalahgunaan dadah,” tambahnya.

Keputusan itu turut dikritik oleh Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh, dengan berkata ia adalah lesen besar untuk rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat mengambil nikotin. 

Akmal bersetuju dengan pandangan pengkritik bahawa kerajaan sepatutnya terlebih dahulu memastikan kelulusan Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok, yang juga dikenali sebagai generasi “end game” (GEG), bertujuan membasmi tabiat merokok dan vape oleh generasi akan datang.

“Rasional terhadap cadangan ini adalah Akta GEG perlu dilaksanakan terlebih dahulu barulah kerajaan wajar mengeluarkan cecair vape yang bernikotin ini dari Akta Racun agar cukai yang tinggi boleh dikenakan ke atas pengguna tidak tergolong di dalam generasi penamat untuk mengurangkan kadar penggunaan vape di kalangan masyarakat.”

Akmal memberi amaran implikasi terhadap kesihatan rakyat adalah jauh lebih penting berbanding menjana keuntungan daripada cukai yang dikutip ke atas vape. 

Keputusan Zaliha itu sangat berbeza dengan kempen anti-merokok dimulakan Khairy Jamaluddin sebelum ini, di mana beliau memulakan rang undang-undang bersejarah yang akan menyaksikan larangan pengambilan mana-mana produk tembakau atau penggantinya oleh mereka yang dilahirkan selepas 2007.

Rang undang-undang generasi “end game” itu bagaimanapun dikritik oleh beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk Anwar Ibrahim ketika beliau menjadi ketua pembangkang.

Rang undang-undang itu tidak pernah diluluskan disebabkan kelewatan kerana pemimpin PH yang meminta jawatankuasa khas Parlimen untuk meneliti semula rang undang-undang itu.