- Iklan -
Berita

Sulaiman nafi didesak letak jawatan

Beliau juga menafikan sebarang persetujuan untuk pelantikannya sebagai senator.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua menteri Melaka yang baharu dijangka mengangkat sumpah petang ini. Gambar: Bernama
Ketua menteri Melaka yang baharu dijangka mengangkat sumpah petang ini. Gambar: Bernama

Sulaiman Md Ali menegaskan, beliau tidak menerima desakan daripada mana-mana pihak untuk meletakkan jawatan sebagai ketua menteri Melaka.

“Yang ada ialah desakan hati saya ini... desakan naluri ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan Parlimen Masjid Tanah, di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Undangan Negeri (Japerun) Kuala Linggi di Alor Gajah hari ini.

Beliau juga mengulangi tiada sebarang perjanjian atau tawaran lantikan senator dalam Kabinet kerajaan Persekutuan dan menjelaskan faktor pengunduran dirinya disebabkan isu kesihatan.

“Saya tidak mahu dah. Saya nak jaga Dewan Undangan Negeri (DUN) saya (DUN Lendu) dan nak hidup secara normal saya semula. Malah saya pernah cakap, saya ni sepenggal (untuk jadi Ketua Menteri) cukuplah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga berharap semua pihak menyokong sesiapa sahaja yang dilantik selepas ini, memandangkan masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Ab Rauf Yusoh, dicadangkan oleh parti itu sebagai ketua menteri Melaka yang baharu.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Zaidi Johari dipetik sebagai berkata Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia, akan dilangsungkan di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam pada 3 petang ini.