- Iklan -
Berita

Kesatuan wartawan kecam Fahmi selepas kritik laporan berita

Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia mempersoalkan kebebasan media di negara ini selepas Fahmi Fadzil berang dengan analisis yang diterbitkan Berita Harian.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) hari ini mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap laporan analisis Berita Harian mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR), berkata laporan sedemikian adalah bentuk liputan berita biasa oleh agensi berita di seluruh negara. 

"Ia juga menjadi kebiasaan bagi agensi media untuk menghebahkan cerita mereka di platform media sosial masing-masing yang terbuka kepada orang ramai dalam menyampaikan berita terkini," katanya.

"Sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas media, Fahmi sepatutnya sedar tentang amalan biasa ini di mana media akan menyiarkan cerita berdasarkan pendapat dan unjuran pakar industri."

Terdahulu, Fahmi melahirkan rasa marah terhadap laporan Berita Harian yang memetik ramalan penganalisis mengenai kenaikan OPR menjelang Julai, berdasarkan unjuran ekonomi yang dipacu oleh permintaan domestik yang kukuh susulan pemulihan dalam sektor pekerjaan.

"Ini satu fitnah," katanya dalam komen yang disiarkan di Facebook, sambil menambah bahawa beliau akan berjumpa dengan pengurusan akhbar harian Melayu itu.

Kenyataannya itu disambut dengan kecaman oleh beberapa pengguna media sosial yang turut memberi reaksi, antara lain, penggunaan perkataan "dijangka" dalam laporan itu. 

NUJM berkata tindakan Fahmi menjejaskan laporan itu, sambil menambah komennya boleh menimbulkan persepsi negatif masyarakat terhadap media. 

"Di manakah kebebasan akhbar seperti yang dijanjikan oleh kerajaan baharu jika 'menteri' media sendiri melabelkan artikel oleh media tempatan mengenai unjuran kewangan sebagai 'fitnah'? 

"NUJM berharap menteri dapat lebih memahami laporan yang dihasilkan oleh media tempatan sebagai sumber berita negara yang boleh diharap, diyakini dan boleh dipercayai."