- Iklan -
Berita

Mahkamah Persekutuan putuskan permohonan semakan kes SRC Najib esok

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan akan menyampaikan keputusannya pada 9 pagi esok.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak melambai di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada 23 Ogos 2022, hari dia gagal dalam rayuan terakhirnya dan dihantar untuk menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang.
Bekas perdana menteri Najib Razak melambai di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada 23 Ogos 2022, hari dia gagal dalam rayuan terakhirnya dan dihantar untuk menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang.

Mahkamah Persekutuan dijadual menyampaikan keputusannya esok terhadap permohonan Najib Razak untuk menyemak semula keputusan mahkamah tertinggi negara sebelum ini yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel lima hakim terdiri daripada hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat, Rhodzariah Bujang dan Nordin Hassan serta hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais akan menyampaikan penghakiman tersebut pada 9 pagi.

Najib, 69, yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di penjara Kajang, memohon untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lepas.

Sementara itu, peguam jenayah terkemuka N Sivananthan ketika diminta mengulas mengenai apa yang akan berlaku jika permohonan tersebut memihak kepada bekas perdana menteri itu, berkata keputusan panel terdahulu akan diketepikan dan diteruskan dengan pendengaran rayuan.

"Jika permohonan itu dibenarkan, bermakna rayuan terakhirnya belum selesai, jadi beliau diletakkan dalam situasi seseorang yang masih menunggu rayuan terakhirnya. Sekiranya permohonan itu ditolak, bermakna berakhirlah kes itu. Hukuman yang dijatuhkan oleh panel terdahulu akan kekal, dan beliau perlu menjalaninya," katanya. 

Sepanjang prosiding selama enam hari yang bermula pada 19 Januari itu, peguam Muhammad Shafee Abdullah berhujah bahawa panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mendengar rayuan Najib telah melakukan kesilapan asas dalam undang-undang dengan tidak membenarkan penangguhan perbicaraan dan tidak membenarkan bekas peguam Najib, Hisyam Teh Poh Teik menarik diri.

Peguam itu juga berhujah bahawa catatan Facebook suami Tengku Maimun pada 11 Mei 2018, sebelum pilihan raya umum ke-14, boleh menimbulkan kebencian terhadap Najib.

Beliau berkata hakim tertinggi itu sepatutnya tahu mengenai catatan yang boleh dilihat oleh umum itu dan bertanya kepada pihak terbabit sama ada beliau patut menarik diri daripada panel tersebut.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya V. Sithambaram dalam hujah balas berkata tidak berlaku pelanggaran keadilan atau salah laku keadilan atau sebarang penyalahgunaan proses mahkamah dalam kes itu kerana pihak pembelaan diberi semua peluang untuk berhujah semasa rayuan terakhir.

Beliau berkata Hisyam memilih untuk tidak mengambil peluang yang diberikan atas alasan tidak bersedia dan Najib melantik peguam baharu dengan harapan untuk menangguhkan pendengaran rayuan itu.

Oleh itu, mahkamah berhak menolak penangguhan yang dimohon, katanya.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram, serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, jika gagal penjara lima tahun, dalam kes penyalahgunaan jawatannya. Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak.

Pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda itu.