- Iklan -
Berita

Guan Eng saman Muhyiddin berhubung isu cukai Yayasan Albukhary

Bekas menteri kewangan itu memfailkan saman fitnah tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin and bekas menteri kewangan Lim Guan Eng.
Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin and bekas menteri kewangan Lim Guan Eng.

Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng hari ini memfailkan saman terhadap bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin atas dakwaan mengeluarkan kenyataan fitnah yang mengaitkannya berhubung pembatalan pengecualian cukai ke atas Yayasan Albukhary.

Lim, 62, selaku plaintif memfailkan saman fitnah itu menerusi Tetuan Guok Partnership di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dengan menamakan Muhyiddin, 75, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sebagai defendan tunggal.

Dalam pernyataan tuntutan, bekas menteri kewangan itu mendakwa Muhyiddin mengeluarkan tiga kenyataan memfitnah membabitkan plaintif dengan isu pembatalan pengecualian cukai ke atas yayasan itu pada 9, 11 dan 12 Mac lepas di laman Facebook milik defendan, yang kemudiannya diterbitkan oleh beberapa akhbar dan portal berita pada hari sama.

Menurut Lim, kenyataan fitnah berkenaan sengaja dibuat selepas Muhyiddin ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9 Mac dan dibebaskan pada hari sama (9 Mac) kerana beliau mengetahui bahawa semua perhatian media dan akhbar tertumpu kepadanya.

Pengerusi DAP itu mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau bersifat perkauman, anti-Melayu dan anti-Islam serta sengaja mensabotaj Yayasan Albukhary selain enggan membenarkan pengecualian cukai ke atas yayasan tersebut ketika beliau memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan pada 2018 hingga 2020.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu turut mendakwa kenyataan fitnah tersebut juga bermaksud beliau telah menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan apabila yayasan kebajikan tersebut tidak patut dikenakan cukai.

Lim menuntut supaya defendan memohon maaf dan menarik kesemua kenyataan terbabit dan menerbitkan permohonan maaf dalam akaun Facebook dan Twitter miliknya serta menyiarkan permohonan maaf itu dalam beberapa akhbar dan portal berita di negara ini, dalam masa tujuh hari dari tarikh penghakiman.

Turut dipohon ganti rugi am, teruk dan punitif yang akan ditentukan oleh mahkamah serta perintah injunksi menghalang Muhyiddin atau ejennya daripada mengeluarkan atau menerbitkan semula kenyataan fitnah atau apa-apa perkataan fitnah yang serupa.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.