- Iklan -
Berita

Mais kritik program ‘Ziarah Gereja’ dipertahankan Hannah Yeoh

Majlis Agama Islam Selangor memberi amaran bahawa program itu melanggar enakmen Islam negeri.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail seorang lelaki tiba untuk bersolat di sebuah masjid di Kuala Lumpur. Gambar: AFP
Gambar fail seorang lelaki tiba untuk bersolat di sebuah masjid di Kuala Lumpur. Gambar: AFP

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengkritik program "Jom Ziarah Gereja" yang dipertahankan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, mengatakan bahan publisiti mengenainya tidak menyatakan ia hanya untuk bukan Islam. 

Pengerusi Mais Abdul Aziz Mohd Yusof turut memberi amaran program yang dianjurkan oleh sebuah agensi yang mempunyai kaitan dengan kementerian itu melanggar undang-undang negeri yang melarang penyebaran agama lain kepada umat Islam.

“Mais berpandangan program ini mempunyai unsur-unsur bagi menarik minat belia khususnya belia Islam untuk mempelajari atau menimba ilmu berkaitan dengan agama selain daripada agama Islam.

“Program sebegini jika dibenarkan untuk dianjurkan boleh mempengaruhi pemikiran para belia Islam secara halus dan tanpa disedari untuk cenderung atau tertarik dengan agama selain dari agama Islam yang sedang dianuti oleh mereka.”

Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Dalam Kalangan Orang Islam) 1988 melarang penyebaran agama selain Islam kepada orang Islam.

Program lawatan ke gereja oleh Impact Malaysia di bawah Projek Artikel 11nya diserang Pemuda Umno selepas poster dalam Bahasa Malaysia dimuat naik di Instagram.

Poster itu kemudiannya diturunkan dari platform media sosial tersebut.

Susulan itu, Ahli Parlimen PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata walaupun program itu pada dasarnya baik, kerajaan perlu melibatkan pakar agama seperti daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ini disusuli Yeoh yang mempertahankan program itu, dengan memetik kenyataan pemimpin PAS sebelum ini yang tidak menghalang umat Islam mengunjungi tempat ibadat bukan Islam.

Kenyataan Yeoh itu mencetuskan kemarahan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, yang berkata pemimpin DAP itu memetik kenyataan daripada pemimpin PAS di luar konteks.

PAS kemudian berkata program itu tidak boleh dibenarkan kerana ia boleh menggagalkan tujuannya dan mencetuskan protes terbuka.

Mais hari ini berkata sebarang program yang secara terbuka menggalakkan orang ramai Islam mengunjungi rumah ibadat bukan Islam hanya akan membawa lebih banyak akibat negatif.

“Dalam menyantuni perbezaan bangsa, budaya dan agama dalam masyarakat majmuk di Malaysia, Mais berpendirian bahawa kesefahaman, toleransi dan perpaduan masyarakat sangat penting untuk memastikan keharmonian dan keamanan Malaysia,” tambahnya.

“Malah, Islam tidak melarang persahabatan dan toleransi dengan orang bukan Islam.”