- Iklan -
Berita

Shahidan gesa kerajaan naikkan harga lantai getah

Katanya, harga lantai itu wajar diletakkan pada harga RM3.50 sekilogram berbanding harga lantai sekarang iaitu RM2.50.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim.
Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim.

Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim menggesa dari Perikatan Nasional (PN) kerajaan menaikkan harga lantai untuk komoditi getah bagi membela kebajikan golongan peladang.

Katanya, harga lantai itu wajar diletakkan pada harga RM3.50 sekilogram berbanding harga lantai sekarang iaitu RM2.50.

"Saya mencadangkan harga lantai kepada RM3.50. Rakyat Malaysia kena bersetuju. Rakyat tertekan, pendapatan mereka(pekebun kecil) pada kadar RM600-RM700.

"Kalau kami memerintah, kita akan naikkan kepada RM3.50," katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa komoditi.

Kerajaan sebelum ini bersetuju menaikkan paras harga Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram dengan peruntukan berjumlah RM350 juta.

Ketika menggulung perbahasan, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Siti Aminah Aching berkata, kerajaan membelanjakan sebanyak RM RM448 juta dari September 2015 hingga 2022 membabitkan 210,000 pekebun kecil untuk IPG.

"Kerajaan akan mempertimbangkan harga pengaktifan IPG dari semasa ke semasa namun bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan," katanya.

Dalam pada itu, Shahidan turut membangkitkan usaha membanteras kempen anti minyak sawit yang diturut dibangkitkan beberapa ahli Parlimen lain.

Ini kerana peruntukan kepada program menangani kempen anti minyak sawit diturunkan kepada RM10 juta dalam belanjawan tahun ini, berbanding RM20 juta sebelum itu.

Dalam jawapan yang diberikan, timbalan menteri berkata ia akan memanfaatkan peruntukan itu meskipun dipotong.