- Iklan -
Berita

Slot latihan pengajian kepakaran ditingkatkan 1,500 tahun ini

Slot latihan program pengajian kepakaran Parallel Pathway turut ditingkatkan sehingga 600 setiap tahun.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki berjalan melintasi mural yang didedikasikan buat petugas barisan hadapan di klinik kesihatan Kuala Lumpur. Gambar: Bernama
Seorang lelaki berjalan melintasi mural yang didedikasikan buat petugas barisan hadapan di klinik kesihatan Kuala Lumpur. Gambar: Bernama

Kementerian Kesihatan (KKM) akan meningkatkan sehingga 1,500 slot latihan pengajian kepakaran Program Sarjana Perubatan mulai tahun ini sebagai usaha untuk menggalakkan lebih ramai pegawai perubatan melanjutkan pengajian kepakaran khususnya bidang kepakaran yang kritikal. 

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata perkara itu akan dilakukan dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menawarkan 23 bidang kepakaran di lapan universiti awam.  

Beliau berkata selain itu slot latihan program pengajian kepakaran Parallel Pathway tajaan KKM turut ditingkatkan sehingga 600 slot setiap tahun melibatkan 14 bidang kepakaran.

“KKM juga menawarkan kemudahan yang setara dengan Cuti Belajar Bergaji Penuh dan Hadiah Latihan Persekutuan kepada pegawai perubatan serta pegawai pergigian lantikan kontrak KKM melalui Program Latihan Kepakaran dengan Biasiswa KKM.

“Ia bagi mengikuti pengajian kepakaran Sarjana Perubatan, Sarjana Pergigian dan Parallel Pathway di institusi dalam dan luar negara mulai sesi akademik 2022/2023,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.  

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Alias Razak (PN-Kuala Nerus) yang ingin tahu statistik doktor yang sedang melanjutkan pengajian untuk menjadi doktor pakar dalam kesemua bidang kepakaran dan inisiatif KKM untuk menggalakkan lebih ramai doktor melanjutkan pengajian khususnya di bidang kritikal.

Di samping itu, katanya Program Kesihatan Awam KKM turut menawarkan Program Latihan PraKepakaran Perubatan Kesihatan Awam berkonsepkan mentor-mentee kepada pegawai perubatan lantikan tetap dan kontrak KKM yang berminat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan kesihatan awam.

Menurutnya ia sebagai pengenalan dan galakan sebelum mengikuti pengajian kepakaran dalam bidang kesihatan awam,

Bagi statistik tersebut, Zaliha berkata jumlah keseluruhan pegawai perubatan lantikan tetap dan kontrak KKM yang sedang mengikuti pengajian kepakaran di bawah Program Sarjana Perubatan dan Parallel Pathway sehingga 31 Disember 2022 adalah seramai 7,993 orang.

Katanya daripada jumlah tersebut, seramai 4,586 orang pegawai perubatan sedang mengikuti pengajian kepakaran di bawah Program Sarjana Perubatan merangkumi 23 bidang kepakaran, manakala, 3,407 orang pegawai perubatan sedang mengikuti program pengajian kepakaran Parallel Pathway merangkumi 14 bidang kepakaran.