- Iklan -
Berita

Mahkamah Persekutuan tetapkan 31 Mac keputusan permohonan semakan kes SRC Najib

Panel lima orang telah mengekalkan keputusannya pada 28 Februari selepas mendengar enam hari penghujahan daripada kedua-dua pihak.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 30 Januari. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 30 Januari. Gambar: Bernama

Mahkamah Persekutuan menetapkan 31 Mac untuk menyampaikan keputusannya dalam permohonan bekas perdana menteri Najib Razak untuk menyemak sabitan dan hukumannya dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Tarikh keputusan itu disahkan oleh seorang daripada peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee serta Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul ketika dihubungi Bernama.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli menangguhkan keputusan mahkamah pada 28 Februari lalu selepas mendengar penghujahan selama enam hari daripada peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya V. Sithambaram.

Empat lagi hakim menganggotai panel itu ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat, Rhodzariah Bujang dan Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais.

Pada 23 Ogos 2022, Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan sabitan, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng dana SRC International.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu kemudian memfailkan permohonan semakan mengikut Peraturan 137 Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995, dalam usaha membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel lima anggota Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lepas dalam mengekalkan sabitan, hukuman penjara dan denda.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan iaitu tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

Hakim Mohd Nazlan, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun dan keputusannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021.

Sepanjang prosiding selama enam hari itu, Shafee berhujah bahawa panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mendengar rayuan Najib melakukan kesilapan asas dalam undang-undang dengan tidak membenarkan penangguhan perbicaraan dan tidak membenarkan bekas peguam Najib, Hisyam Teh Poh Teik menarik diri.

Bagaimanapun, Sithambaram berhujah bahawa tiada pelanggaran keadilan semula jadi atau ketidakadilan atau penyalahgunaan proses mahkamah dalam kes itu kerana pihak pembelaan diberi peluang untuk mengemukakan rayuan terakhirnya tetapi Hisyam memilih untuk tidak mengambil peluang yang diberikan atas alasan beliau tidak bersedia.