- Iklan -
Berita

Saifuddin enggan jelaskan sebab beri pengecualian kepada Umno

Saifuddin dilihat cuba mengelak daripada menjawab soalan tersebut sebelum menyatakan beliau kesuntukan masa untuk menamatkan sesi penggulungannya.

Azzman Abdul Jamal
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail. Gambar: Bernama
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail. Gambar: Bernama

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution hari ini enggan menjawab soalan berhubung tindakannya menggunakan kuasa sebagai menteri untuk mengecualikan Umno daripada klausa dalam Akta Pertubuhan, membolehkan parti itu tidak mempertandingkan dua jawatan tertingginya.

Dalam sesi penggulungan di Dewan Rakyat hari ini, Saifuddin turut menegaskan bahawa ia adalah haknya untuk tidak menjawab soalan yang dikemukakan oleh mana-mana wakil rakyat.

Terdahulu Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan memohon penjelasan Saifuddin mengenai asas untuk memberi pengecualian kepada Umno daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan Akta Pertubuhan 1966.

Menurutnya, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berpandangan usul tambahan oleh parti itu untuk tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden adalah tidak teratur, bertentangan dan bercanggah dengan peruntukan Fasal 9.3 Perlembagaan Umno.

Bagaimanapun, Saifuddin dilihat cuba mengelak daripada menjawab soalan tersebut sebelum menyatakan beliau kesuntukan masa untuk menamatkan sesi penggulungannya.

"Pada akhirnya, kita membuat keputusan. Jadi itulah keputusannya. Saya tak mahu beri butiran," katanya di Dewan Rakyat.

"Saya sendiri, meneliti fasal-fasal sebelum membuat keputusan sehingga saya betul-betul puas hati.”

Beliau kemudian menyatakan semakin kesuntukan masa dan tidak mahu memberi ruangan kepada wakil rakyat lain untuk mencelah sesi penggulungannya.

Ini bagaimanapun menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) yang terus mendesak beliau untuk mengemukakan jawapan yang jelas.

"Ini adalah ruangan menteri untuk menjelaskan perkara ini kepada orang ramai," kata Takiyuddin.

"Terpulang kepada saya sama ada ingin menjawab atau tidak," balas Saifuddin sebelum menamatkan sesi penggulungan beliau.