- Iklan -
Berita

Kerajaan berhubung dengan bank sedia moratorium mangsa banjir, kata PM

Setakat ini Maybank dan CIMB bersetuju untuk memberikan moratorium selama enam bulan, kata Anwar Ibrahim.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Mangsa banjir berehat di sebuah rumah yang dinaiki air di Kampung Temehel, Yong Peng, Johor, 4 Mac.
Mangsa banjir berehat di sebuah rumah yang dinaiki air di Kampung Temehel, Yong Peng, Johor, 4 Mac.

Kerajaan akan berhubung dengan pihak bank bagi membenarkan moratorium diberikan kepada peminjam yang terkesan akibat banjir, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim. 

Beliau berkata ini berdasarkan cadangan daripada kerajaan Johor yang meminta bantuan itu diberikan, dan setakat ini Maybank dan CIMB telah bersetuju untuk memberikan moratorium selama enam bulan.

“Kita juga hubungi bank-bank lain supaya mengikuti langkah Maybank dan CIMB,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi semalam meminta kerajaan mempertimbangkan moratorium antara tiga hingga enam bulan diberikan kepada mangsa banjir di negeri berkenaan.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Onn Hafiz berkata moratorium itu akan dapat meringankan bebanan mangsa banjir yang mempunyai pinjaman daripada institusi perbankan.

Selain itu Anwar berkata tiada keperluan melaksanakan darurat banjir di Johor memandangkan semua kawasan dan jalan yang terputus telah dapat diselesaikan.

Menurutnya, persiapan yang disediakan adalah jauh lebih baik termasuk pemasangan jambatan bailey oleh pasukan Angkatan Tentera Malaysia bagi menghubungkan jalan yang terputus hubungan. 

“Saya ucapkan tahniah kepada semua jentera. Di Johor persiapan jentera negeri dan pegawai-pegawai daerah nampak lebih berkesan, oleh itu dapat menyelamatkan banyak nyawa dan memberikan bantuan dengan kadar segera.

“Apa alasan darurat? Darurat ni kalau kaedah biasa tak boleh dijalankan tetapi sekarang kaedah biasa boleh dijalankan. Oleh itu darurat tak perlu,” katanya menjawab soalan Shahidan Kassim (PN-Arau) yang ingin tahu mengapa kerajaan masih tidak melaksanakan darurat banjir khususnya di Johor. 

Pada masa sama, Anwar sekali lagi menegaskan beliau tidak membatalkan projek tebatan banjir tetapi membatalkan proses rundingan terus.

“Saya batalkan kerana kos itu tinggi dan melalui rundingan terus, tetapi projek itu mesti diteruskan. Dalam belanjawan saya dah umumkan projek tebatan banjir di Johor dan Sungai Golok di Kelantan. Jadi nak kata diskriminasi projek pasal apa (kenapa)?.

“Kita minta sediakan kerana projek tebatan banjir adalah projek mendesak tetapi kaedahnya jangan rundingan terus kerana kosnya meningkat, jadi kita guna proses tender terhad dan percepatkan proses itu. Bila kita guna tender terhad, kos menurun,” katanya.