- Iklan -
Berita

Bekas pegawai Goldman Sachs patut dipenjara 15 tahun, kata pendakwa raya AS

Ng sudah menjalani hukuman enam bulan di penjara Malaysia sebelum dilucutkan haknya untuk diekstradisi ke AS pada 2018.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas jurubank Goldman Sachs Roger Ng tiba di Mahkamah Persekutuan AS di New York pada 8 Februari 2022. Gambar: AFP
Bekas jurubank Goldman Sachs Roger Ng tiba di Mahkamah Persekutuan AS di New York pada 8 Februari 2022. Gambar: AFP

Pendakwa raya Amerika Syarikat (AS) semalam menggesa hakim menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun kepada bekas jurubank Goldman Sachs, Roger Ng selepas dia disabitkan bersalah membantu merompak berbilion dolar daripada dana kekayaan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Juri di mahkamah persekutuan Brooklyn pada April lalu mendapati Ng, bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia, bersalah kerana membantu bekas bosnya Tim Leissner menggelapkan wang daripada dana itu, melakukan penggubahan wang haram dan merasuah pegawai kerajaan untuk mendapatkan perniagaan.

Leissner pernah menjadi ketua Goldman di Asia Tenggara.

Hakim daerah AS Margo Brodie dijangka menjatuhkan hukuman kepada Ng pada 9 Mac.

Dalam rayuan terhadap hukumannya pada 25 Februari, Ng memohon agar beliau tidak dijatuhkan hukuman penjara dan dibenarkan pulang ke Malaysia.

Beliau sudah menjalani hukuman enam bulan di penjara Malaysia sebelum dilucutkan haknya untuk diekstradisi ke AS pada 2018.

Ng dibebaskan dengan ikat jamin tetapi tertakluk kepada perintah berkurung sejak disabitkan kesalahannya. 

Tuduhan itu berpunca daripada bon berjumlah AS$6.5 bilion (RM29.09 bilion) yang diterbitkan Goldman bagi membantu 1MDB, bertujuan membiayai projek pembangunan di Malaysia, yang dijual pada 2012 dan 2013.

Pendakwa raya berkata sebanyak AS$4.5 bilion (RM20.14 bilion) daripada jumlah itu digelapkan oleh pegawai, jurubank dan sekutu mereka, dalam salah satu skandal terbesar dalam sejarah Wall Street.

Pada Oktober 2020, Goldman bersetuju membayar sejumlah AS$2.9 bilion (RM12.98 bilion) dan unit Malaysianya mengaku bersalah atas pertuduhan rasuah.

Ng mengaku tidak bersalah, dan menafikan bahawa bayaran sogokan AS$35 juta yang didakwa diterimanya sebenarnya adalah pulangan atas pelaburan dibuat isterinya.

Leissner mengaku bersalah dan memberi keterangan terhadap Ng sebagai sebahagian daripada perjanjian kerjasama. 

Bagaimanapun, beliau masih belum dijatuhkan hukuman.