- Iklan -
Berita

Pakej internet untuk B40 masih mahal, kata Fomca

Syarat kontrak langganan selama 24 bulan untuk Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap Fahmi Fadzil juga membimbangkan kelompok tersebut, kata CEO Fomca.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Kebanyakkan kawasan pedalaman sehingga ke hari ini masih belum mendapat akses internet sambungan fiber menyebabkan kelajuan internet kawasan itu tidak selaju di kebanyakkan kawasan membangun di Semenanjung Malaysia.
Kebanyakkan kawasan pedalaman sehingga ke hari ini masih belum mendapat akses internet sambungan fiber menyebabkan kelajuan internet kawasan itu tidak selaju di kebanyakkan kawasan membangun di Semenanjung Malaysia.

Kerajaan disaran untuk menilai semula Pakej Perpaduan Internet talian tetap yang bakal diperkenalkan khas kepada golongan pendapatan rendah (B40) kerana harganya masih dianggap terlalu tinggi untuk kelompok itu, kata Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Fomca Saravanan Thambirajah berkata, ini kerana harga RM69 yang bakal ditawarkan itu lebih sesuai kepada golongan pendapatan sederhana (M40).

Katanya, harga yang disebut itu juga belum mengambil kira cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang mana jumlahnya akan menyebabkan pengguna membayar lebih RM70 sebulan.

"Pengurangan ini hanya 20% kerana harga pasaran kini ialah RM89," katanya kepada MalaysiaNow.

"Saya rasa syarikat telekomunikasi boleh turunkan lagi (harga). Bergantung kepada tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka."

Pada 31 Januari, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengumumkan Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap kepada golongan B40, veteran dan orang kurang upaya (OKU) pada kadar harga RM69 bagi kelajuan 30Mbps.

Pakej ini juga bakal disertakan kontrak langganan selama 24 bulan.

Meskipun usaha membantu golongan B40 ini dianggap sebagai satu langkah positif, Saravanan bagaimanapun berpandangan idea meletakkan syarat kontrak itu tidak sesuai kerana ia boleh membebankan kelompok tersebut.

Katanya, ini kerana ramai dalam kalangan B40 tidak meraih pendapatan tetap seperti golongan M40 dan situasi ini membuatkan mereka sukar memberi jaminan untuk terus komited membayar pakej internet itu.

"Apa akan jadi dalam tempoh satu dua bulan apabila pendapatan mereka terjejas dan mereka tak mampu bayar komitmen ini?

"Justeru, mereka boleh dikenakan penalti. Mana nak cari duit bayar penalti?" Soal Saravanan.

Dalam pada itu, Saravanan berkata, kerajaan juga dinasihatkan supaya menumpukan kepada usaha meluaskan capaian internet di seluruh negara terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Katanya, kebanyakan kawasan pedalaman sehingga ke hari ini masih belum mendapat akses kepada internet yang menggunakan sambungan fiber menyebabkan kelajuan internet kawasan itu tidak selaju di kebanyakan kawasan membangun di Semenanjung Malaysia.

"Selain itu, harga internet di Malaysia secara menyeluruh agak mahal jika dibandingkan dengan negara jiran mengikut kelajuan.

"Saya rasa kita mungkin boleh kurangkan lagi harga sebanyak 20% hingga 30% berbanding dengan negara lain," tambahnya.