- Iklan -
Berita

Kerajaan jimat RM17 bilion jika T20 tidak diberi subsidi bahan api, kata Ahmad Maslan

Katanya penggunaan bahan api itu dalam kumpulan berpendapatan rendah (B40) hanya sekitar 24%, manakala berpendapatan sederhana sebanyak 41% dan selebihnya kumpulan T20.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki memasukkan RON95 di sebuah stesen minyak di ibu negara.
Seorang lelaki memasukkan RON95 di sebuah stesen minyak di ibu negara.

Persidangan Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa kerajaan boleh jimat sehingga RM17 bilion sekiranya golongan berpendapatan tinggi (T20) tidak diberikan subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).

Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan berkata pada 2022, penggunaan ketiga-tiga bahan api itu dalam kumpulan berpendapatan rendah (B40) hanya sekitar 24%, manakala berpendapatan sederhana (M40) sebanyak 41% dan kumpulan T20 adalah 35%.

“Dari segi angka ialah RM50.8 bilion, kalau darab dengan 35% yang digunakan T20 nilainya RM17.8 bilion.

“Jika T20 tidak diberikan subsidi petrol, diesel dan LPG, anggaran penjimatan RM15 bilion ke RM17 bilion, jadi Ahli-ahli Yang Berhormat boleh bayangkan berapa banyak perkara lain yang kita boleh gunakan untuk bantu rakyat dalam pelbagai urusan di 26 kementerian,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu) yang ingin tahu sama ada langkah kerajaan menggunakan pangkalan data bersepadu dalam mekanisme pemberian subsidi bersasar berkesan untuk mengelak ketirisan, dan bagaimana mereka yang dalam kumpulan M40 yang tercicir ke kumpulan B40 di bandar akan menerima manfaat subsidi bersasar itu.  

Ahmad berkata jumlah subsidi yang diberikan untuk diesel pada 2018-2019 adalah RM5.8 bilion hingga RM6.1 bilion, namun subsidi itu meningkat kepada RM8.4 bilion berikutan penggunaannya yang bertambah. 

Sementara itu, beliau berkata kerajaan akan terus memantau aktiviti penyeludupan petrol dan diesel secara bersepadu bersama agensi berkaitan termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

Katanya, harga RON95 di Malaysia adalah jauh lebih murah iaitu RM2.05 seliter berbanding negara jiran seperti Singapura (RM8.51 seliter), Thailand (RM5.71 seliter) dan Indonesia (RM3.78 seliter).

Ahmad menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang mengenai langkah yang diambil kerajaan terhadap individu yang melakukan penyeludupan bahan api tersebut.