- Iklan -
Berita

Bekas pegawai Goldman Sachs anggap penjara Sungai Buloh ‘neraka jahanam’

Sewaktu di penjara Sungai Buloh, beliau tinggal bersama tikus, tidur di atas lantai simen dan dijangkiti malaria dan leptospirosis, penyakit bawaan air daripada air kencing tikus.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas pegawai Goldman Sachs Roger Ng selepas disabitkan bersalah kes berkait dana 1MDB di Brooklyn, New York, Amerika Syarikat pada 8 April. Gambar: Reuters
Bekas pegawai Goldman Sachs Roger Ng selepas disabitkan bersalah kes berkait dana 1MDB di Brooklyn, New York, Amerika Syarikat pada 8 April. Gambar: Reuters

Bekas jurubank Goldman Sachs Group Inc, Roger Ng yang disabitkan bersalah dalam kes 1MDB, memberitahu Mahkamah New York beliau menjalani hukuman enam bulan penjara dalam persekitaran sel yang kotor dan kadang-kadang dirantai bersama 20 banduan yang lain, lapor The Edge Markets.

Akhbar itu melaporkan, Ng menerangkan situasi yang dialaminya sebelum ini dalam surat kepada hakim Amerika Syarikat (AS) Margo Brodie bagi merayu untuk diringankan hukuman yang akan dijatuhkan ke atasnya minggu depan kerana membantu menggelapkan dana kekayaan negara 1MDB.

Dalam surat pada Sabtu, Ng menganggap dirinya berada di dalam sebuah “neraka jahanam” ketika ditempatkan di penjara Sungai Buloh Malaysia sebelum diekstradisi ke AS pada Mei 2019. 

Ng menyifatkan hukuman yang diterimanya sudah setimpal untuk jenayahnya.

Pengarah urusan itu memberitahu, sewaktu di penjara Sungai Buloh, beliau tinggal bersama tikus, tidur di atas lantai simen dan dijangkiti malaria dan leptospirosis, penyakit bawaan air daripada air kencing tikus.

Ketika dibawa ke mahkamah, Ng memberitahu beliau digari dan dirantai bersama 20 banduan lain serta dimuatkan ke dalam sebuah trak yang sempit.

Menurut Ng, 51, dia ditahan dalam sel secara bersendirian sehingga dua minggu pada satu-satu masa.

"Enam bulan di penjara Malaysia mempunyai kesan buruk dari segi mental dan fizikal," tulis Ng.

“Sehingga hari ini, saya dapati diri saya tidak boleh bersosial, kerana saya trauma dengan pengalaman kejam dan menyedihkan ini. Ketika dalam penjara membuatkan saya hilang akal dan ketakutan.”

Menjelang pendengaran hukuman yang dijadualkan pada 9 Mac, peguam Ng memohon mahkamah memberi belas kasihan dan mengambil kira hukuman penjara yang dijalani anak guamnya di Malaysia.

Ng merupakan satu-satunya pekerja Goldman yang dibicarakan berhubung skandal 1MDB.

Pada Oktober 2020, Goldman bersetuju membayar AS$2.9 bilion (RM12.86 bilion) dan unit Malaysianya mengaku bersalah atas pertuduhan rasuah, untuk menyelesaikan siasatan ke atas penyelewengan berbilion dolar daripada 1MDB dan pembayaran rasuah bagi mendapatkan perniagaan di Wall Street.

Juri persekutuan di Brooklyn mensabitkan Ng pada April tahun lalu kerana bersubahat melanggar undang-undang anti-rasuah dan melakukan pengubahan wang haram. 

Ng berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun.

"Dilucutkan maruahnya di penjara Malaysia, beliau mengalami sakit, ketakutan, bersendirian dan putus asa, dan masih mengalami kesan melemahkan PTSD," kata peguam itu semasa mereka memohon hakim membenarkannya pulang ke Malaysia, di mana beliau masih tertakluk kepada pertuduhan jenayah berkaitan kecurian besar-besaran melibatkan dana 1MDB.

Reuters tidak dapat menghubungi pegawai penjara bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung syarat tersebut.

Pendakwa raya berkata beliau membantu bekas bosnya Tim Leissner menggelapkan wang dana tersebut, melakukan pengubahan wang haram dan merasuah pegawai bagi mendapatkan perniagaan untuk Goldman.

"Peranan Ng dalam kesalahan itu adalah minimum, dan satu-satunya dakwaan bertentangan terhadapnya dibuat Tim Leissner, yang jelas luar biasa," kata peguam bela dalam dokumen mahkamah.