- Iklan -
Berita

Imigresen tambah hari kerja atasi isu pengeluaran pasport

Menteri dalam negeri berkata sejumlah RM10 juta telah diperuntukkan bagi bayaran lebihan masa bekerja.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pegawai imigresen Negeri Sembilan membantu orang ramai semasa berurusan di kaunter Jabatan Imigresen di UTC Ampangan, 31 Januari. Gambar: Bernama
Pegawai imigresen Negeri Sembilan membantu orang ramai semasa berurusan di kaunter Jabatan Imigresen di UTC Ampangan, 31 Januari. Gambar: Bernama

Jabatan Imigresen telah mengambil beberapa langkah proaktif bagi mengatasi isu kesesakan serius urusan pasport termasuk menambah bilangan hari bekerja iaitu pada Sabtu dan Ahad khususnya di pejabat pengeluar pasport yang mengalami kesesakan ketara.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata terdapat 20 pejabat yang berdepan kesesakan yang tinggi iaitu sembilan di Wilayah Persekutuan dan Selangor, Johor (lima), Perak (tiga) dan masing-masing satu di Melaka, Pulau Pinang dan Kedah.

Beliau berkata sejumlah RM10 juta juga telah diperuntukkan bagi bayaran lebihan masa bekerja.

“Sehingga hari ini kita sudah keluarkan hampir 2.5 juta pasport dan daripada jumlah ini, sebanyak 45% adalah permohonan dalam talian.

“Bagaimanapun pasport yang dimohon menerusi dalam talian ini akan ambil masa beberapa hari untuk disiapkan, manakala untuk permohonan ‘walk-in’ (jumpa terus) akan siap dalam tempoh satu hari,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Saifuddin menjawab soalan Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) yang ingin tahu langkah penyelesaian yang proaktif dan progresif dalam mengatasi isu kesesakan serius bagi urusan pasport di Jabatan Imigresen, serta cadangan untuk mengembalikan semula proses permohonan pasport secara "walk-in". 

Beliau berkata selepas ancaman Covid-19 semakin reda, kadar permohonan pasport dalam kalangan rakyat adalah tinggi sehingga mengakibatkan kesesakan di pejabat pengeluar pasport terutamanya di Lembah Klang.

Sementara itu, beliau turut mengakui terdapat kesesakan di kaunter imigresen di pintu masuk utama negara khususnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kementerian sedang merangka langkah bagi menyelesaikan masalah itu.

Bagi penyelesaian segera, Saifuddin mengumumkan pagar automatik di KLIA yang sebelum ini hanya dibuka untuk rakyat Malaysia akan dibuka kepada warganegara asing terutama yang datang dari negara berisiko rendah seperti Singapura dan Brunei. 

Beliau menjawab soalan tambahan Mumtaz Md Naw (PN-Tumpat) mengenai sama ada kerajaan sedar akan kesesakan di kaunter imigresen di pintu masuk utama sehingga boleh memakan masa sehingga tiga jam untuk cap pasport.