- Iklan -
Berita

Ahli Parlimen Gerik mahu tumpu perkongsian kekayaan lebih adil

Fathul Huzir berkata kawasannya kaya dengan sumber alam tetapi miskin dari segi infrastruktur.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Aktiviti riadah "House Boat" di Tasik Banding, Gerik, di Perak, 16 September 2020.
Aktiviti riadah "House Boat" di Tasik Banding, Gerik, di Perak, 16 September 2020.

Kekayaan sumber asli di kawasannya di Gerik, Perak bermakna rakyat boleh menikmati kemudahan asas tanpa berharapkan pada fasiliti yang terletak jauh.

Bagaimanapun, itu tidak berlaku walaupun pelbagai hasil bumi diangkut keluar dari Gerik.

Justeru, Ahli Parlimen Gerik Fathul Huzir Ayob berazam mahu menegakkan keadilan bagi kira-kira 100,000 penduduk di kawasan tersebut.

"Masih ada kampung yang tiada jalan tar, tiada lampu jalan. 

“Apabila malam, penduduk susah hendak keluar," katanya kepada MalaysiaNow baru-baru ini.

Fathul pada Rabu membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat dan beliau menyentuh mengenai keadaan infrastruktur di kawasannya masih ketinggalan berbanding kawasan-kawasan lain.

Ucapannya menarik perhatian anggota Dewan Rakyat dan pemberita kerana kedengaran bernada sedih.

Ahli Parlimen Perikatan Nasional Gerik Fathul Huzir Ayob. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Perikatan Nasional Gerik Fathul Huzir Ayob. Gambar: Bernama

Gerik yang dahulunya kubu kuat Umno, pertama kali tewas kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Fathul menang melawan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki dengan majoriti 1,377 undi.

Katanya, banyak desakan dan permintaan dibuat selama ini bagi memajukan infrastruktur, namun tidak diendah.

"Hati orang Gerik ini sudah jadi keras. Putus asa pun ada kerana minta (kemajuan) tak dapat," katanya.

Gerik yang terletak di utara Perak bersempadan dengan Thailand juga menjadi titik tengah antara kawasan timur dan barat di bahagian utara semenanjung.  

Hasil bumi yang dibawa keluar ialah balak, emas, bijih timah dan kini galian nadir bumi terbaru, lantanid.

Menurut Fathul, terdapat keperluan untuk menubuhkan yayasan untuk kemajuan Hulu Perak agar sebahagian cukai hasil bumi daripada syarikat korporat boleh digunakan untuk membangunkan kawasan itu.

"10% duit cukai yang dibayar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) boleh diberikan kepada yayasan ini," katanya.

Selain itu, sektor kesihatan dan pelancongan di Gerik, menurut Fathul, adalah antara yang kurang diberi perhatian.

"Hospital Gerik boleh menempatkan ibu yang bersalin secara normal, tetapi jika ada komplikasi, pesakit perlu ke Hospital Ipoh atau Taiping yang memakan masa dua jam.

"Bukan sedikit kes ibu yang bersalin dalam ambulans," katanya.

Bagi sektor pelancongan, katanya Gerik mempunyai hutan seperti Royal Belum dan gunung-ganang yang menarik minat pencinta alam sekitar, namun kurang diberikan perhatian.