- Iklan -
Berita

Tiada istilah 'my man' dalam PDRM, kata ketua polis negara

Tiada isu anak emas kerana semua pegawai dan anggota polis adalah orang saya, kata Acryl Sani.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani. Gambar: Bernama
Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani. Gambar: Bernama

Tiada istilah "my man" atau "orang saya" dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata amalan sedemikian (kewujudan istilah "my man" atau "orang saya") tidak patut dijadikan budaya dalam PDRM sebaliknya semua pegawai dan anggota polis dilayan sama rata.

“Ia satu budaya yang tidak elok. Saya minta kepada semua Ketua-ketua Polis Daerah, Ketua-ketua jabatan dan anggota polis tidak ada status 'my man' atau 'orang saya'. Saya minta mereka tergolong dalam kepimpinan Datuk (Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan).

“Tidak ada isu anak emas, anak gangsa, itu orang IGP, orang OCPD (Ketua Polis Daerah) kerana semua pegawai dan anggota polis adalah orang saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis serah terima tugas ketua polis Selangor dan pengerusi Perkep Selangor di Maktab Polis Diraja Malaysia Cheras, di Kuala Lumpur hari ini.

Hussein Omar Khan dilantik ketua polis Selangor yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Acryl Sani berkata pelantikan Hussein merupakan satu langkah ke hadapan untuk mendepani tugas kepolisan masa depan yang mencabar.

Beliau berkata Hussein merupakan seorang pegawai kanan polis berpengalaman luas dan berjaya mengendali beberapa kes baru-baru ini.

“Saya percaya bahawa polis kontinjen Selangor berada di tangan yang berwibawa dan berkebolehan.

Sementara itu, Hussein berkata beliau akan menjalankan amanah sebagai Ketua Polis Selangor yang baharu dengan sebaiknya.

“Saya bersyukur ke hadrat Ilahi, ia merupakan satu rezeki yang dikurniakan kepada saya dan berterima kasih kepada IGP (Ketua Polis Negara) atas kepercayaan yang diberi.

“Maka hari ini, bermula tugas saya sebagai Ketua Polis Selangor dan insya-Allah saya lakukan yang terbaik untuk kontinjen Selangor,” katanya.

Hussein sebelum ini pernah menyandang jawatan timbalan pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan pengarah bahagian Pelaksanaan Operasi, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri.