- Iklan -
Berita

Putrajaya perlu siasat kematian 150 pendatang asing di depoh tahanan tahun lalu

Tujuh kanak-kanak dan 25 wanita adalah antara mereka yang maut ketika dalam tahanan pada 2022.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Lori Jabatan Imigresen membawa tahanan Rohingya untuk dihantar ke depoh tahanan di Relau, Kedah. Gambar: Bernama
Lori Jabatan Imigresen membawa tahanan Rohingya untuk dihantar ke depoh tahanan di Relau, Kedah. Gambar: Bernama

Kumpulan hak asasi manusia menggesa siasatan terhadap keadaan di depoh tahanan pendatang tanpa izin selepas kerajaan berkata 150 warga asing, termasuk tujuh kanak-kanak, meninggal dunia di kemudahan itu tahun lepas. 

Malaysia secara rutin menahan warga asing tanpa permit sah untuk tinggal di negara ini, termasuk pencari suaka. Ia menjadi tempat kepada berjuta-juta pendatang tanpa izin dan lebih 100,000 pelarian Rohingya. 

Depot tahanannya sesak dan tidak bersih, manakala tahanan mempunyai akses yang tidak mencukupi kepada makanan, air dan penjagaan kesihatan, menurut aktivis dan beberapa bekas tahanan yang temu bual Reuters. 

Dalam jawapan bertulis di Parlimen minggu ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, berkata tujuh kanak-kanak dan 25 wanita adalah antara yang maut dalam depot tahanan tahun lepas. 

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan punca kematian atau jumlah pendatang yang ditahan dalam depot tahanan itu. Julai lalu, kerajaan berkata terdapat 17,703 warga asing di depot tahanan tersebut.

"Hakikatnya begitu ramai warga asing, termasuk kanak-kanak, mati dalam tahanan imigresen adalah satu dakwaan pedas terhadap kegagalan Malaysia untuk melayan mereka dengan berperikemanusiaan," kata Timbalan Pengarah Pemerhati Hak Asasi Manusia Asia, Phil Robertson. 

Pendatang asing tanpa izin biasanya ditahan untuk tempoh yang lama sementara menunggu pengusiran, manakala pelarian dan pencari suaka yang tidak mahu pulang ke negara asal ditahan selama-lamanya.

Malaysia tidak mengiktiraf pelarian, dan memberikan sedikit hak kepada mereka yang diberi perlindungan oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

UNHCR dinafikan akses ke depot tahanan sejak Ogos 2019, menghalang usaha untuk membebaskan dan menempatkan semula pencari suaka. 

Amnesty International berkata akses terhad dan kekurangan pemantauan bebas boleh mengundang bahaya, dan menggesa siasatan telus terhadap kematian itu.

"Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk bertindak secara terbuka dan dengan segera," katanya.

Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen, yang mengendalikan depot tahanan, tidak memberi sebarang respons.

Malaysia semakin mendapat perhatian kerana layanannya terhadap pendatang asing tanpa izin. 

Pada 2020, negara menahan beribu-ribu pendatang asing tanpa izin ketika pandemik dalam apa yang dikatakan pihak berkuasa sebagai usaha untuk mencegah penularan Covid-19. 

Malaysia juga menghantar pulang pencari suaka ke Myanmar, hingga mengundang kritikan.