- Iklan -
Berita

Polis hantar kertas siasatan Himpit 2023 ke pejabat pengarah pendakwaan

Ketua Polis Terengganu Rohaimi Md Isa berkata pihaknya melengkapkan kertas siasatan itu setelah mengambil keterangan daripada 36 individu melibatkan penganjur dan peserta program yang terlibat.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Anggota Himpunan Pemuda Islam Terengganu or Himpit menyertai perarakan di Setiu, Terengganu, 17 Februari. Gambar: Facebook
Anggota Himpunan Pemuda Islam Terengganu or Himpit menyertai perarakan di Setiu, Terengganu, 17 Februari. Gambar: Facebook

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghantar kertas siasatan berhubung Perhimpunan Pemuda Islam Terengganu 2023 (Himpit 2023) kepada pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Terengganu, semalam.

Ketua Polis Terengganu Rohaimi Md Isa berkata pihaknya melengkapkan kertas siasatan itu setelah mengambil keterangan daripada 36 individu melibatkan penganjur dan peserta program yang terlibat.

Beliau berkata buat masa ini, pihaknya masih menunggu arahan selanjutnya daripada PPN dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 14 Akta Hasutan Kesalahan Kecil 1955.

“Kertas siasatan sudah dihantar dan dirujuk kepada PPN semalam. Kita tunggu arahan untuk tindakan seterusnya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Selain itu, Rohaimi berkata pihaknya menerima lima laporan polis berhubung program perarakan itu yang didakwa mengganggu ketenteraman orang ramai dan menjejaskan keharmonian antara kaum.

Program HIMPIT 2023 anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) Jumaat lepas di Setiu mencetuskan polemik apabila peserta berarak sambil membawa replika senjata seperti pedang dan lembing.

Namun, Ketua DPPNT Mohd Harun Isa dilapor menjelaskan bahawa peserta hanya mengikut tema perarakan dan ia sama seperti pertandingan pakaian beragam dianjurkan di seluruh negara.