- Iklan -
Berita

Tiada 'double standard' dalam usaha banteras salah guna media sosial

Menurut Kementerian Komunikasi dan Digital, kerajaan komited dalam memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap individu atau pihak tanpa mengira latar belakang dan pegangan politik.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Logo aplikasi TikTok, 22 Ogos 2022. Gambar: Reuters
Logo aplikasi TikTok, 22 Ogos 2022. Gambar: Reuters

Tidak timbul isu “double standard” atau pilih kasih dalam usaha kerajaan membanteras penyalahgunaan media sosial.

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini memaklumkan kerajaan komited dalam memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap individu atau pihak tanpa mengira latar belakang dan pegangan politik, sekiranya didapati melakukan kesalahan undang-undang. 

Menurut KKD tindakan penguatkuasaan yang diambil kerajaan adalah berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada serta berdasarkan aduan daripada masyarakat awam dan pihak yang terkesan, tanpa adanya unsur berat sebelah.

"Sekatan tidak akan dikenakan ke atas mana-mana individu untuk meluahkan perasaan atau pendapat selagi masih berada di dalam lingkungan dan batasan undang-undang. Ini bagi memastikan media sosial tidak disalah guna sehingga boleh mengancam keamanan dan kestabilan negara," menurut kementerian itu. 

Kenyataan itu bagi menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) yang bertanyakan adakah kerajaan bersifat memilih dan bersikap “double standard” untuk membanteras isu di media sosial, iaitu akaun-akaun TikTok yang menyuarakan hak kebebasan politik pembangkang disekat, namun akaun-akaun Twitter yang menyebarkan pornografi atau akaun “dark side” tidak diambil tindakan. 

KKD turut memaklumkan sebanyak 176 aduan diterima dan disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dari 2020 hingga 2022 berhubung kesalahan yang diperuntukkan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Daripada jumlah tersebut, 22 kes didakwa di mahkamah dengan 19 kes selesai dan dijatuhkan hukuman denda dengan nilai keseluruhan yang berjumlah RM111,000 dan sebanyak tiga kes lagi dalam proses perbicaraan.

"Pihak MCMC juga melaporkan sejumlah 217 akaun yang didapati memuat naik kandungan-kandungan yang berunsur lucah kepada pihak Twitter dan kesemua akaun serta laman tersebut sudah pun diturunkan," menurut kementerian itu. 

Selain itu, KKD memaklumkan sekatan terhadap platform media sosial bukan jalan penyelesaian mutlak selagi usaha pemantapan jati diri rakyat tidak dilaksanakan, memandangkan isu media sosial “dark side” berkait rapat dengan masalah sosial yang perlu ditangani secara menyeluruh.

Menurut KKD, usaha membasmi dan mencegah pengaruh negatif termasuk pornografi dan penyalahgunaan media sosial terutama dalam kalangan generasi muda adalah tanggungjawab bersama dan memerlukan usaha bersepadu pelbagai pihak, khususnya ibu bapa dan penjaga.