- Iklan -
Berita

Shahrizat kembali ke gelanggang, tanding jawatan ketua wanita Umno

Kali terakhir beliau memegang jawatan di peringkat pusat parti itu adalah pada 2018 sebelum bersara daripada dunia politik.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas ketua wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil. Gambar: Bernama
Bekas ketua wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil. Gambar: Bernama

Bekas ketua wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil membuat kemunculan semula dengan bertanding pada pemilihan Umno 2023 bagi merebut jawatan yang pernah disandangnya itu. 

Beliau yang mesra dikenali sebagai "Kak Ijat" mengesahkan perkara itu menerusi hantaran di laman Instagramnya selain turut difahamkan telah menghantar borang pencalonannya di ibu pejabat Umno tengah hari tadi. 

“Bismilahirahmanirrahimm Tawakaltu Alallah, dengan ini Kak Ijat mengesahkan bahawa Kak Ijat akan bertanding jawatan Ketua Wanita Umno Malaysia. Segalanya ketentuan Allah,” katanya menerusi hantaran itu. 

Kali terakhir beliau memegang jawatan di peringkat pusat parti itu adalah pada 2018 sebelum bersara daripada dunia politik setelah dilantik pada tahun 2008 apabila menewaskan Rafidah Aziz dengan 507 undi. 

Antara nama-nama besar lain yang dilaporkan menawarkan diri bertanding jawatan di peringkat pusat Umno dalam pemilihan kali ini ialah bekas pengerusi Umno Johor Hasni Mohamad bagi jawatan naib presiden Umno, Setiausaha Pemuda Umno Hasmuni Hassan (Ketua Pemuda Umno) dan Ahli Majlis Tertinggi Umno Khaidirah Abu Zahar (Ketua Puteri Umno). 

Pemilihan Umno diadakan bermula 1 Feb lepas hingga 18 Mac ini, dengan Persidangan Tahunan Umno Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan ialah pada 1 hingga 26 Februari.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian bersama pemilihan exco wanita, pemuda dan puteri Umno pusat pula bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Umno Bahagian bersama pemilihan ahli majlis tertinggi Umno pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac.