- Iklan -
Berita

Lepas PRU15, apa cerita politik orang muda?

Bagi mereka, idea bahawa 'semua perkara berkaitan politik, anak muda perlu ambil peduli' tidak lagi relevan selepas pilihan raya memandangkan mereka yang lantang memperjuangkan idea itu tidak lagi kedengaran.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya melakukan persiapan untuk pengundian awal Pilihan Raya Negeri Sarawak di pusat mengundi Kem Muara Tuang, Kota Samarahan, 13 Disember 2021.
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya melakukan persiapan untuk pengundian awal Pilihan Raya Negeri Sarawak di pusat mengundi Kem Muara Tuang, Kota Samarahan, 13 Disember 2021.

Segelintir pengundi belia dan kali pertama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lagi mempercayai agenda politik anak muda yang diuar-uarkan oleh beberapa pihak sewaktu musim berkempen.

Bagi mereka, idea bahawa "semua perkara berkaitan politik, anak muda perlu ambil peduli” tidak lagi relevan selepas pilihan raya memandangkan mereka yang lantang memperjuangkan idea itu tidak lagi kedengaran. 

Pelajar jurusan pergigian tahun pertama Akmal Hashim berkata tiada khabar berita dan perkembangan terkini mengenai politik anak muda selepas mengundi.

Situasi itu katanya, hanya membuktikan kempen dan agenda politik muda hanyalah taktik mudah memancing undi golongan belia.

"Ada seorang ahli Parlimen itu, tak perlu namakanlah ramai yang kenal. Siap tubuh parti nama Muda, dia lah paling hero sekali politik muda. 

"Lepas PRU tak ada apa pun. Main TikTok pun dengan kucing, kawan-kawan dia sahaja. 

"Apa khabar dengan politik muda yang dicanang tu?" katanya kepada MalaysiaNow ketika ditemui di restoran makanan segera di Petaling Jaya, Selangor. 

Dalam pada itu, rakan Akmal pula berkata, dia membesar dalam keluarga yang tidak gemar bercakap soal politik. 

Bagaimanapun, Jack Lim, 19 tahun berkata dia keluar daripada kebiasaan itu dan mula mengambil tahu serba serbi tentang politik.

Tanpa dia sedar, dia mula meminati politik apabila didedahkan dengan video-video media sosial yang memperjuangkan idea anak muda.

Tetapi kini, katanya, tiada apa yang berlaku.

"Mungkin kita sudah kena tipu," katanya kepada Akmal disusuli ketawa. 

Atas sebab itu, katanya, tidak menghairankan apabila ramai rakan-rakan sebaya mereka berkata politik orang muda adalah retorik bukannya satu bentuk perjuangan.

Undi belia menarik perhatian baru pada PRU15 selepas pindaan Perlembagaan untuk menurunkan umur dan daftar pemilih secara automatik.

Perkembangan itu menyaksikan bilangan pengundi meningkat kira-kira 6 juta orang sejak pilihan raya umum pada 2018. 

Kini, pengundi di bawah usia 40 tahun merupakan kohort pengundi terbesar dalam sistem pilihan raya negara. 

Bagaimanapun, ramai pihak berpandangan pelaksanaan Undi18 hanya satu langkah yang memakan diri apabila undi golongan itu tidak cenderung kepada Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 meskipun gabungan itu yang memperjuangkannya.

Saluran pengundi muda pada November lalu menguntungkan Perikatan Nasional (PN) apabila banyak kerusi gabungan itu dimenangi disebabkan majoriti undi daripada pengundi muda.

Disebabkan itu, kedengaran suara-suara pengkritik dalam PH yang menyalahkan Undi18 sebagai punca Parlimen "tergantung" dan gagal membentuk majoriti mudah bentuk kerajaan pusat. 

Bagaimanapun, bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang memperjuangkan pelaksanaan Undi18 menafikan idea itu menjadi senjata politik bagi mana-mana parti terutamanya kepada PH. 

Katanya, ketika menggalas tanggungjawab untuk menguruskan Undi18 adalah memastikan fungsi utama Undi18 iaitu memberi kuasa baru kepada anak muda tanpa mengira parti politik. 

"Sejak bila mandat saya meluluskan Undi18 untuk PH? Ataupun untuk PAS? Untuk Bersatu? 

"Tidak ada. Itu bukan untuk saya. Mandat saya adalah untuk pastikan lulus untuk rakyat, untuk anak muda," katanya kepada MalaysiaNow. 

Atas sebab itu, pengasas dan presiden parti Muda itu berkata reformasi institusi tidak boleh disokong hanya apabila ia menguntungkan sesebuah pihak sahaja.

"Kalau kita ikut kata-kata pengkritik kononnya kena tarik balik Undi18 ini, maksudnya tak perlulah kita ada semua jenis reformasi sebab nak tolong satu parti sahaja." 

Mengulas lanjut, Syed Saddiq menyifatkan jawapan untuk meraih semula sokongan anak muda, PH perlu terus membela hak dan pastikan kebajikan golongan itu terjaga.

"Bila hilang sokongan anak muda, belajarlah mengapa hilang sokongan itu.

“Bukan tekan lagi anak muda."

Sementara itu, sekumpulan penghantar makanan berusia antara 19 hingga 22 tahun berkata, golongan belia tidak lagi melihat ahli politik yang kononnya memperjuangkan hak dan kebajikan mereka sebagai elemen yang boleh membawa perubahan kepada masa depan mereka.

Sebaliknya, mereka lebih berminat untuk menyokong golongan usahawan dan pempengaruh media sosial (influencer) yang dilihat lebih berkesan membawa perubahan dalam masyarakat.

"Dia (Syed Saddiq) boleh cakap apa sahaja yang dia mahu. Tapi kalau tengok di TikTok anak muda sekarang sokong influencer dan usahawan. 

"Sebabnya bila ada orang susah, mereka ni sampai dulu. Bagi duit, bagi bantuan.

"Jadi tak pelik kalau PN boleh dapat banyak sokongan anak muda sebab influencer dan usahawan di TikTok secara terbuka beritahu sokong PN," kata mereka dengan menamakan selebriti dan usahawan kosmetik Wawa Zainal serta suami Aeril Zafrel.