- Iklan -
Berita

Bayaran cetak, pengeposan notis saman polis tak ikut kontrak, menurut Laporan Ketua Audit Negara

Semakan audit mendapati PDRM telah membuat pembayaran sebelum perkhidmatan dilaksanakan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang polis mengeluarkan saman di Subang, Selangor.
Seorang polis mengeluarkan saman di Subang, Selangor.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2 menyatakan pembayaran perkhidmatan mencetak dan pengeposan notis saman polis tidak mengikut kontrak yang sepatutnya.

Menurut laporan itu yang dikeluarkan hari ini, semakan audit mendapati Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat pembayaran sebelum perkhidmatan dilaksanakan berjumlah RM17.76 juta dan denda notis lewat dipos berjumlah RM1.82 juta tidak dikenakan.

“Semakan audit mendapati syarikat perkhidmatan 227963-P telah mengeluarkan pesanan penghantaran (nota penghantaran) bagi mengesahkan perkhidmatan walaupun perkhidmatan sebenar hanya dilaksanakan selepas 19 hingga 382 hari dari tarikh pembayaran.

“Semakan lanjut audit mendapati bayaran perkhidmatan mencetak dan pengeposan 4.8 juta notis saman postal PDRM berjumlah RM17.76 juta telah dijelaskan sebelum perkhidmatan dilaksanakan,” menurut LKAN.

Laporan itu memaklumkan, berdasarkan perjanjian setelah siap mencetak dan menyampul Notis PDRM mengikut pesanan yang dibuat oleh kerajaan, kontraktor hendaklah mengepos Notis PDRM itu dalam masa 14 hari dari tarikh pesanan rasmi dibuat.

“Hak kerajaan apabila Notis PDRM lewat dipos, kerajaan berhak menerima Notis PDRM tersebut dan menuntut daripada kontraktor pampasan.

“Kelewatan pengeposan notis saman yang dikenal pasti adalah antara satu hingga 34 hari. Berdasarkan pengiraan audit, sejumlah RM1.82 juta denda boleh dikenakan terhadap notis yang lewat diposkan oleh pihak syarikat perkhidmatan 227963-P,” menurut LKAN.

Selain itu, LKAN turut mendedahkan syarikat perkhidmatan 227963-P telah melantik subkontraktor tanpa kelulusan dengan nilai kontrak berjumlah RM32.58 juta.

Bagi memastikan tindakan pematuhan kepada peraturan kewangan dan syarat dalam klausa perjanjian perkhidmatan mencetak dan pengeposan notis saman, PDRM disyorkan memastikan pembayaran dibuat mengikut ketetapan perjanjian berdasarkan jumlah sebenar bilangan notis saman yang dicetak dan dipos oleh syarikat perkhidmatan.

“Selain itu, memastikan pemantauan terhadap tempoh penyempurnaan perkhidmatan mencetak dan pengeposan notis saman dibuat dengan lebih berkesan dengan mengambil tindakan segera terhadap sebarang kelewatan yang berlaku dan menguatkuasakan klausa perjanjian sedia ada serta menambah baik terma perjanjian untuk menjamin kepentingan kerajaan,” menurut laporan itu.