- Iklan -
Berita

SPRM jangan pilih bulu, siasat kempen mewah Anwar, kata Bersatu

Bersatu Kedah dakwa ada bukti kukuh, gesa agensi antirasuah turut siasat kempen mewah PRU15 PH dan BN.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang penduduk melalui deretan bendera Pakatan Harapan dan Barisan Nasional yang digantung di Kampung Portugis, Melaka, menjelang PRU15 lepas.
Seorang penduduk melalui deretan bendera Pakatan Harapan dan Barisan Nasional yang digantung di Kampung Portugis, Melaka, menjelang PRU15 lepas.

Bersatu Kedah hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat perbelanjaan mewah Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas.

Ketua Penerangan Bersatu Kedah, Khairul Anuar Ramli turut menggesa SPRM agar tidak membuat pendakwaan secara pilih bulu bagi memenuhi nafsu politik pemimpin tertentu yang menjadikan Perikatan Nasional (PN) khususnya Bersatu sebagai kambing hitam dalam percaturan politik kotor.

Katanya, pihaknya mempunyai bukti kukuh bagi menunjukkan perbelanjaan mewah kedua-dua blok parti politik tersebut seperti menyewa papan iklan besar di lebuh raya, menawarkan hadiah cabutan mewah yang nilai tinggi serta penggunaan helikopter oleh Anwar Ibrahim ketika berkempen di seluruh negara.

"Ini antara sebahagian daripada banyak lagi bukti yang kami ada untuk kita beritahu kepada SPRM supaya jalankan siasatan telus dan jangan menjalankan siasatan mengikut cakap telunjuk ahli politik," ketika membuat laporan SPRM di Alor Setar.

"Anwar dan anaknya Nurul Izzah tidak mengambil gaji bulanan. Ini menimbulkan persoalan bagaimanakah anak beranak ini menyara kehidupan atau adakah mereka menerima dana dari sumber rahsia." 

Sebelum ini, SPRM membeku akaun Bersatu untuk membantu siasatan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Khairul menganggap ia sebagai dakwaan yang tidak berasas dan hanya tuduhan untuk memburukkan dan mencalarkan imej PN oleh pihak lawan.

Katanya, Anwar yang kini sudah dilantik sebagai perdana menteri perlu memohon maaf kepada PN apabila membuat beberapa tuduhan seperti mendakwa gabungan itu menerima dana daripada syarikat perjudian.

"Pada masa sama, beliau terus fitnah kononnya kita terlibat dengan dana RM600 bilion.

"Kemudian dari angka itu, turun pula ke RM520 bilion hinggalah ke RM300 juta.

"Adakah seorang PM sebagai orang yang waras boleh buat tuduhan yang berubah-ubah dan tidak konsisten?" soal beliau.