- Iklan -
Berita

Khairy pertimbang semua peluang dan tawaran

Bekas ahli Parlimen Rembau itu memberi ‘bayangan’ bertanding pada PRN akan datang.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.
Bekas ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.

Bekas ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berkata beliau terbuka kepada semua pilihan, beberapa hari selepas dipecat daripada Umno kerana melanggar disiplin parti sewaktu berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

Khairy yang juga bekas menteri kesihatan dipecat bersama bekas pengerusi badan perhubungan Umno Selangor Noh Omar. 

Selain itu, keahlian Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein digantung selama enam tahun selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berhasrat membuat “pembersihan besar-besaran” kerana mereka mengkritik keputusan parti.

Bercakap dalam wawancara dengan stesen radio BFM pagi ini, Khairy berkata beliau masih berpegang kepada hasratnya untuk menjadi perdana menteri – matlamat yang pertama kali diumumkan sewaktu berkempen di Sungai Buloh.

"Saya masih mahu memimpin negara ini suatu hari nanti. Bagaimana saya boleh ke sana? Saya tidak tahu.

“Tetapi saya mahu pastikan keputusan yang saya buat adalah berdasarkan wawasan negara tercinta,” katanya.

Khairy adalah antara beberapa pemimpin kanan Umno yang menggesa Zahid meletakkan jawatan berikutan prestasi buruk parti itu pada PRU15, sekali gus menyaksikan presiden Umno itu membawa 30 ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) menyokong pemimpin PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri. 

Beliau sendiri dipindahkan dari kerusi Rembau untuk memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, yang akhirnya tewas di Sungai Buloh.

Semasa berkempen di Sungai Buloh, Khairy secara terbuka mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan presiden Umno, sambil menambah parti itu sudah hilang arah dan harus "diperbaiki". 

Bercakap dalam wawancara pagi ini, bekas ketua pemuda Umno itu berkata beliau akan meluangkan masa untuk memutuskan langkah seterusnya, sambil menambah beliau sudah menerima tawaran dalam pelbagai bidang termasuk politik dan akademik hinggalah kepada perniagaan. 

"Peluang hadir sendiri. Pilihan raya negeri adalah satu kemungkinan," kata Khairy, merujuk kepada pilihan raya di enam negeri yang akan diadakan tahun ini.

Mengenai penyertaan dengan parti lain, Khairy berkata, beliau akan mempertimbangkan untuk menyertai parti yang menawarkan inklusif, tata kelola pentadbiran yang baik, progresif serta kukuh, selesa dan sesuai dengan kehendaknya.

Mengenai prospeknya untuk menyertai semula Umno, beliau berkata parti Melayu itu mungkin sudah tersasar daripada perjuangannya dan tidak mungkin kembali.

"Jika saya mempertimbangkan untuk kembali kepada Umno, ia mestilah entiti yang berbeza daripada hari ini," katanya.