- Iklan -
Berita

Cabaran Umno selepas Khairy dipecat

Penganalisis berpandangan Umno meletakkan parti itu dalam situasi mencabar.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin bersalaman dengan Presiden Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, 12 Januari. Gambar: Bernama
Bekas ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin bersalaman dengan Presiden Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, 12 Januari. Gambar: Bernama

Pemerhati politik berkata Umno membuat pilihan yang sukar susulan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada Jumaat memecat Khairy Jamaluddin dan Noh Omar kerana didakwa melanggar disiplin parti sewaktu kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Anis Anwar Suhaimi menjelaskan ketetapan MKT itu akan menyebabkan Umno berhadapan dengan cabaran persepsi imej parti sama ada mewakili Melayu secara inklusif atau sudah menjadi milik kelompok tertentu.

Malah, katanya, penilaian rakyat terhadap keputusan yang diambil Umno bakal diterjemahkan menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung dalam tempoh terdekat.

"Meminggirkan sebahagian segmen Melayu ini dalam Umno akan mengundang gelombang undi protes sebagaimana yang berlaku dalam Padang Serai pasca kerjasama Umno dan Pakatan Harapan (PH)," kata Anis yang juga ketua penyelidik di O2 Research Malaysia kepada MalaysiaNow.

Perkembangan terbaru parti politik itu mendapat perhatian ramai pihak yang menyuarakan kebimbangan terhadap kemampuan Umno untuk kekal relevan dalam masa terdekat.

Nama Khairy sering kali disebut-sebut oleh ahli akar umbi Umno yang percaya beliau mampu memberi perubahan kepada parti selepas kekalahan teruk pada dua siri pilihan raya tahun 2018 dan 2022.

Beliau yang pernah bertanding bagi jawatan presiden pada pemilihan Umno 2018 melawan Ahmad Zahid Hamidi namun gagal merebut jawatan itu selepas hanya memperoleh 61 undi dari 191 perwakilan Umno bahagian.

Bagaimanapun, penganalisis politik dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun berkata sukar untuk meramalkan impak keputusan MKT Umno terhadap sokongan dan pengundi Melayu.

Katanya, sukar mengesan sama ada kebanyakan pengundi muda dan mereka yang berada di kawasan bandar bersifat reformis dan progresif.

"Jadi walaupun Khairy kekal dalam Umno, saya tidak rasa ia akan menarik lebih ramai pengundi muda dan bandar untuk Umno.

"Mereka yang mengundi Umno pada masa akan datang berkemungkinan kerana Umno (kini) menyekutukan dirinya dengan PH lebih daripada segala-galanya," katanya.

Atas sebab itu, Oh berpandangan bahawa Khairy boleh menyertai parti politik lain atau menubuhkan partinya sendiri.

Tetapi, pemimpin parti lain pula mungkin takut dibayangi personaliti Khairy yang kuat.

"Dia hanya perlu berdiam diri sehingga peluang politik seterusnya muncul."