- Iklan -
Berita

Rehatkan Zahid, kata Bersatu berkait permohonan pasport

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu berkata pemulangan pasport hanya akan menyebabkan lebih banyak penangguhan dalam perbicaraan rasuah TPM itu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu.
Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu.

Bersatu menggesa agar Ahmad Zahid Hamidi diberi “rehat” sebagai timbalan perdana menteri, berikutan permohonannya untuk mendapatkan pasportnya secara kekal bagi melaksanakan tugas rasminya, termasuk melibatkan perjalanan ke luar negara, tanpa gangguan.

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu berkata ini akan memastikan badan kehakiman yang adil dan bebas serta perbicaraan serta telus untuk Zahid yang berdepan 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram berkait dana Yayasan Akalbudi.

“Permohonan yang menggunakan alasan kepentingan negara nyata dilihat memberi tekanan kepada pihak mahkamah serta hakim, dan akan mengganggu proses perbicaraan,” katanya.

"Walaupun ia menjadi kuasa mutlak hakim untuk memulangkan pasport berkenaan, namun skop bidang tugas yang dipegang Zahid dalam pentadbiran kerajaan ketika ini akan memberi kesan kepada kuasa kehakiman untuk menjamin perbicaraan yang cekap, lancar serta tanpa penangguhan."

Pasport Zahid diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan.

Menerusi afidavit sokongan permohonan itu, Zahid, 70, berkata permohonan tersebut adalah bersifat bona fide (berniat baik) dan hanya bertujuan untuk memohon kebenaran bagi pelepasan pasport agar beliau dapat menjalankan tugas rasmi dengan lancar.

Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata beliau mempunyai beberapa kekangan untuk menjalankan tugas seperti menteri lain kerana tidak mempunyai akses kepada pasport tersebut.

“Sebagai timbalan perdana menteri, saya menerima mandat dan tanggungjawab utama daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mewakilkan beliau dalam beberapa urusan pentadbiran negara,” katanya yang memfailkan notis permohonan berserta afidavit sokongan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 20 Januari lepas. 

Bagi melancarkan pergerakan dan urusan dalam menjalankan tugasan rasmi, Zahid berkata beliau dikehendaki berada di dalam dan luar negara yang memerlukan pasport berada dalam pegangannya sendiri.

Selain itu, Zahid berkata pasport tersebut diperlukan kerana ia adalah syarat dalam proses permohonannya untuk mendapatkan Pasport Diplomatik daripada Jabatan Imigresen Malaysia, bagi tujuan pergerakan rasmi keluar dan masuk negara.

“Adalah wajar untuk mahkamah mempertimbangkan bahawa kelulusan permohonan itu bakal memberi kebaikan serta kelangsungan terhadap pentadbiran Malaysia yang menjadi tanggungjawab setiap individu rakyat di negara ini,” katanya menerusi afidavit itu.

Beliau juga berjanji untuk tetap akan memberi kerjasama penuh dalam menyelesaikan kesnya sehingga ke peringkat akhir pembelaan.

Faizal berkata pemulangan pasport Zahid hanya akan menyebabkan lebih banyak kelewatan dalam proses perbicaraan dengan pelbagai alasan urusan tugas.

“Hakikatnya, pentadbiran negara mempunyai timbalan perdana menteri yang masih berdepan 47 pertuduhan di mahkamah ketika ini, juga perlu dilihat sebagai perosak kepada komposisi Jemaah Menteri serta kerajaan secara keseluruhan.

"Ini adalah satu penghinaan kepada majoriti pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15, yang mengharapkan sebuah kerajaan bersih, telus dan berintegriti."