- Iklan -
Berita

Permohonan Najib gugur hakim ditolak

Abu Bakar dikekalkan sebagai panel bagi mendengar permohanan semakan kehakiman Najib terhadap kes SRC International.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri, Najib Razak
Bekas perdana menteri, Najib Razak

Mahkamah Persekutuan menolak permohonan menggugurkan Hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais daripada menganggotai panel yang bersidang bagi mendengar permohonan semakan hukuman terhadap Najib Razak kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Empat lagi hakim yang menganggotai panel hari ini adalah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli, Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat, Rhodzariah Bujang serta Nordin Hassan.

Peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah dalam hujahan bantahan terhadap Abu Bakar berkata mengikut Seksyen 74 Akta Mahkamah Kehakiman 1974, komposisi hakim Mahkamah Persekutuan mestilah terdiri daripada semua hakim Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram berkata hakim Mahkamah Rayuan dibenarkan bersidang di Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 122 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berhujah bantahan terhadap hakim perlu menunjukkan bahaya berlakunya berat sebelah.

Najib sedang berusaha untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lepas dalam mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International.