- Iklan -
Berita

Zahid nafi wujud perjanjian sulit dengan PH sebelum PRU15

Zahid menegaskan adalah tidak adil sekiranya ahli akar umbi parti terus menuding jari kepada barisan kepimpinan terhadap keputusan yang diambil selepas pilihan raya umum baru-baru ini.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menaikkan bendera "Sang Saka Bangsa" sempena perasmian Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini. Gambar:  Bernama
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menaikkan bendera "Sang Saka Bangsa" sempena perasmian Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini. Gambar: Bernama

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini menafikan wujud persefahaman awal dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan secara bersama dengan mengatakan pihaknya tidak pernah mempunyai perjanjian sulit yang pernah ditandatangani tanpa persetujuan parti sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Ketika berucap dalam ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung Umno 2022 (PAU22), Zahid menegaskan ianya sesuatu yang tidak adil sekiranya ahli akar umbi parti terus menuding jari kepada barisan kepimpinan terhadap keputusan yang diambil selepas pilihan raya umum baru-baru ini.

“Ini pun tidak perlu saya perincikan kerana ia menjadi rahsia umum,” katanya.

Pada Oktober 2020, MalaysiaNow mendedahkan Zahid dan bekas perdana menteri, Najib Razak menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dengan menyatakan sokongan terhadap Pengerusi PH Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Selepas PRU15, tiada mana-mana gabungan yang mendapat sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baru persekutuan.

Dalam tempoh menunggu percaturan politik itu, Zahid yang juga merupakan pengerusi Barisan Nasional (BN) memainkan peranan penting dalam mendapatkan sokongan ahli Parlimennya terhadap Anwar.

Zahid bertindak walaupun mendapat tentangan keras daripada dalaman Umno sendiri kerana mengabaikan ketetapan perhimpunan parti itu yang tidak membenarkan sebarang jalinan kerjasama dengan Anwar dan DAP.

Bercakap lebih lanjut, Zahid berkata beliau sendiri sudah membayangkan bentuk kerjasama dengan PH semasa ucapan dasarnya pada PAU 2020 mengatakan ia tidak mustahil untuk Umno dan rakan-rakan kongsi politiknya membina “political reset” yang akan mewarnai landskap politik baru negara.

“Untuk itu, kepimpinan Umno di semua peringkat dan seluruh akar umbi harus berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk menghadapi ‘reset’ politik ini,” katanya memetik ucapan dasar pada tahun tersebut yang disifatkannya sudah pun diluluskan sebagai dasar parti.

Dalam kerajaan baru pimpinan Anwar menyaksikan Zahid kembali kepada kedudukan kedua tertinggi kerajaan yang pernah dipegangnya sehingga 2018.

Pengumuman tersebut mencetuskan reaksi dalam kalangan rakyat Malaysia yang tidak percaya individu kluster mahkamah boleh menganggotai jemaah menteri pimpinan Anwar yang sebelum itu lantang menolak rasuah dan salah guna kuasa.

Kluster mahkamah merujuk kepada sekumpulan pemimpin Umno yang berdepan dengan pertuduhan jenayah rasuah.

Kata Zahid, pendirian parti untuk membentuk kerjasama dengan bekas seterunya itu selaras dengan titah Agong yang mencadangkan supaya mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan.

Menurutnya, pada masa yang sama PH juga bersetuju dengan titah tersebut sehingga membawa kepada ketetapan untuk memilih gabungan dianggotai DAP itu bagi membentuk kerajaan.

“Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi membuat keputusan berdasarkan kaedah mempertimbangkan mudarat kecil dan mudarat besar kepada parti.”

Sekali lagi, katanya, ini membuktikan keputusan yang dibuat adalah secara bersama kerana mereka yang berada dalam kerangka kepimpinan Umno mengetahui dan menyedari bagaimana keputusan tersebut boleh dicapai.

“Semoga dengan penjelasan ini, letakkanlah noktah kepada polemik ini.

“Saya tahu perkara-perkara ini menjadi modal yang terus dimainkan tambahan pula pemilihan parti semakin hampir,” katanya.