- Iklan -
Berita

140 ketua bahagian gesa jawatan presiden, timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan

Mereka berkata ia demi mengelakkan perpecahan dalam parti bagi persediaan menghadapi enam pilihan raya negeri.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Perwakilan mendengar ucapan pemimpin pada Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur pada 11 Januari.
Perwakilan mendengar ucapan pemimpin pada Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur pada 11 Januari.

Seramai 140 kerua bahagian bersetuju supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan Umno yang dijangka akan berlangsung pada Mei.

Pengerusi Solidariti Ketua-Ketua Bahagian Umno Mohd Shafei Abdullah berkata, ini untuk mengelakkan perpecahan dalam parti itu supaya dapat bersedia menghadapi enam pilihan raya negeri (PRN) yang akan dilangsungkan pada tahun ini.

Menurutnya, persetujuan itu disuarakan 126 ketua Umno bahagian yang hadir manakala 14 lagi memberi sokongan menerusi telefon.

"Jadi kita harap presiden menerima pandangan kita. Dia tak benarkan kita bincangkan pemilihan parti dalam peringkat MT (Majlis Tertinggi).

"Dia nak dengar akar umbi, jadi ketua bahagian mewakili akar umbi," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur malam tadi.

Apabila ditanya sekiranya Ahmad Zahid Hamidi wajar melepaskan jawatan sebagai presiden Umno susulan kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Shafei yang pernah menjadi setiausaha politik kepada Najib Razak itu tidak bersetuju dan berpandangan semua harus dipertanggungjawab termasuk "poster boy".

"Saya pun patut bertanggungjawab, poster boy pun sama, ketua bahagian dan ketua cawangan pun sama sebab kalah.

"Kalah bukan sebab oleh satu faktor tetapi pelbagai faktor dan semua orang menyumbang," katanya. 

Shafei merujuk kepada Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob yang dijadikan “poster boy” oleh Barisan Nasional (BN) ketika berdepan dengan PRU15.

Dalam pada itu, Shafei berkata, 140 ketua Umno bahagian turut berpandangan bekas perdana menteri Najib wajar diberikan "keadilan" untuk menerima perbicaraan semula terhadap kes yang dihadapinya.

Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi pada Julai tahun lalu selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah Rayuan turut mengekalkan hukuman itu apabila rayuan Najib yang juga bekas ahli Parlimen Pekan ditolak sebelum keputusan itu dimuktamadkan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos tahun sama.

Menurut Shafei, perbicaraan itu disifatkan sebagai tidak adil dan menggesa supaya Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali didakwa di mahkamah secepat mungkin.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah siapkan kertas siasatan dan hantar ke peguam negara. Tunggu apa lagi?

"SPRM sudah tahan dua orang berhubung siasatan RM92.5 bilion dan sudah didakwa. 

“Kalau itu boleh buat, sedangkan siasatan SPRM terhadap Nazlan dibuat lama sebelum PRU," soalnya.