- Iklan -
Berita

Pemimpin DAP gesa kerajaan Sarawak telus berhubung kerugian Serba Dinamik

Dr Kelvin Yii membangkitkan persoalan apakah status kepentingan negeri yang wujud dalam syarikat tersebut.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii. Gambar: Facebook
Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii. Gambar: Facebook

Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii hari ini menggesa kerajaan Sarawak mendedahkan status berhubung kerugian yang dialami perbendaharaan negeri, dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan korporat susulan keputusan mahkamah membenarkan pencairan aset Serba Dinamik Holdings Bhd selepas menanggung hutang sebanyak RM5 bilion.

Yii yang merupakan ketua Pemuda DAP berkata keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan petisyen yang dikemukakan oleh enam institusi kewangan untuk mencairkan aset Serba Dinamik dan tiga anak syarikatnya – Serba Dinamik International Ltd, Serba Dinamik Sdn Bhd dan Serba Dinamik Group Bhd – sangat membimbangkan kerana kerajaan Sarawak mempunyai kepentingan dalam syarikat itu.

“Berdasarkan Laporan Intergrasi 2021, setiausaha kewangan negeri merupakan pemegang saham kedua terbesar berjumlah 159.5 juta dan 36 juta waran saham manakala Bintulu Development Authority (BDA),badan berkait kerajaan pula merupakan pemegang saham ke 12 terbesar iaitu sebanyak 21 juta dan 6 juta waran saham,” katanya.

"Ini bermakna, sekitar 30% pegangan saham syarikat dimiliki oleh badan berkaitan kerajaan Sarawak."

Dalam satu kenyataan, Yii berkata beliau membangkitkan isu tersebut pada Mei 2022, namun Timbalan Premier Douglas Uggah Embas dalam jawapan balas di Dewan Undangan Negeri (DUN) mengatakan “syarikat terbabit hanya mengalami kerugian untuk sementara  atau tempoh waktu singkat sahaja”.

Beliau berkata Uggah turut berkata syarikat itu sedang meneliti pelan pemulihan dan penstrukturan semula, namun tidak menjelaskan jumlah pelaburan kerajaan Sarawak di dalam syarikat dan jumlah kebarangkalian kerugian yang dialami.

"Kurang daripada setahun kemudian, kita menyaksikan Mahkamah Tinggi membenarkan pencairan aset syarikat dan hutang syarikat melumpuhkan syarikat terbabit," katanya.

Yii menggesa kerajaan negeri menjelaskan pelan khusus sekiranya ada bagi menjaga kepentingan Sarawak dan apakah langkah pemulihan jelas di dalam mengembalikan kerugian besar dana awam Sarawak tersebut.

"Kerajaan negeri Sarawak harus memastikan ketelusan segala pelaburan kerajaan dan badan berkaitan kerajaan seperti PETROS, DBBOS dan sebagainya pada masa hadapan. 

“Urus tadbir dan tata kelola yang telus dan jujur harus menjadi perkara pokok kerajaan bagi menjamin kelangsungan masa depan Sarawak dan anak Sarawak sentiasa dilindungi,” katanya.