- Iklan -
Berita

Mavcom mahu syarikat tangani gangguan penerbangan menjelang Tahun Baru Cina

Pengurusan gangguan perlu diperkukuh lagi dan memerlukan perhatian segera syarikat penerbangan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang penumpang memeriksa butiran penerbangan di terminal KLIA2, Sepang.
Seorang penumpang memeriksa butiran penerbangan di terminal KLIA2, Sepang.

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengarahkan semua syarikat penerbangan mempertingkatkan pengurusan gangguan penerbangan dengan serta-merta sebagai persediaan jangkaan peningkatan kapasiti penerbangan dan trafik penumpang semasa musim perayaan Tahun Baru Cina.

Mavcom dalam kenyataan semalam turut mengingatkan syarikat penerbangan terhadap kewajipan mereka kepada pengguna di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) dan menggesa supaya syarikat penerbangan menyelesaikan isu dialami penumpang berikutan isu gangguan penerbangan yang berlaku baru-baru ini.

“Walaupun syarikat penerbangan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) untuk mengendalikan gangguan penerbangan, pengurusan gangguan itu perlu diperkukuhkan lagi dan memerlukan perhatian segera.

“Oleh itu, keperluan baru berkenaan bertujuan menangani kebimbangan orang ramai mengenai pengurusan pengendalian penundaan dan pembatalan penerbangan oleh syarikat penerbangan terutamanya semasa musim cuti perayaan, berikutan jangkaan peningkatan perjalanan udara,” menurut kenyataan itu.

Mavcom juga mengarahkan syarikat penerbangan untuk mengerahkan Pasukan Pengendali Penundaan bagi penerbangan yang ditunda selama dua jam atau lebih dan kakitangan syarikat penerbangan terlibat mesti diberi kuasa untuk bertindak dan harus membantu pengguna di semua lapangan terbang.

“Obligasi ini bertujuan menambah baik komunikasi kepada penumpang serta menyediakan penjagaan dan keperluan seperti yang digariskan dalam MACPC,” menurut kenyataan itu.

Menjelang Tahun Baru Cina, Mavcom memberitahu pihaknya telah meluluskan kesemua 291 penerbangan tambahan yang dimohon oleh syarikat penerbangan antara 18 hingga 31 Januari, bagi memenuhi permintaan perjalanan dan menangani isu tambang penerbangan yang tinggi semasa tempoh perayaan itu.

“Oleh itu, syarikat penerbangan perlu bersedia dari segi operasi dan melaksanakan kewajipan mereka secara efektif untuk memastikan keselesaan pengguna sentiasa diutamakan.

“Secara keseluruhan, suruhanjaya telah meluluskan 33.5% penambahan penerbangan domestik bagi 2023 berbanding musim perayaan Tahun Baru Cina pada 2022,” menurut kenyataan itu dan menambah laluan antara Sabah dan Sarawak mempunyai penerbangan tambahan tertinggi iaitu 205.