- Iklan -
Berita

Bung Moktar tidak iktiraf rombakan Kabinet baru Hajiji

Pengerusi Umno Sabah itu berkata Adun yang menerima jawatan dalam rombakan Kabinet hari ini akan dibawa kepada lembaga disiplin parti.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin. Gambar: Bernama
Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin. Gambar: Bernama

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lamag Bung Moktar Radin hari ini menolak pelantikan menteri Kabinet Sabah yang baru dari partinya, menyifatkan tindakan tersebut membelakangkan perdana menteri dan tidak mewakili Umno Sabah yang diterajuinya.

Dalam sebuah kenyataan, Bung menyifatkan tindakan mereka menerima lantikan tersebut adalah untuk kepentingan diri masing masing tanpa memikirkan masa depan Umno secara menyeluruh.

"Pelantikan Kabinet baru melibatkan dua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno ini tidak mewakili parti, dan kita tidak membuat sebarang pengiktirafan berkenaannya.

"Ketua Menteri Hajiji Noor juga tidak boleh mengatakan atau mengiktiraf mereka ini mewakili Umno dalam barisan Kabinetnya," katanya, sambil menambah perkara itu akan dibawa kepada lembaga disiplin parti untuk diambil tindakan.

Awal hari ini, Bung yang merupakan Adun Lamag digugurkan daripada Kabinet Sabah dengan lantikan jemaah Kabinet baru hari ini.

Rombakan dengan lantikan baru itu diumumkan Hajiji di mana Adun Tanjung Keramat Shahelmey Yahya dilantik sebagai timbalan ketua menteri III merangkap menteri kerja raya Sabah yang baru manakala Adun Sugut James Ratib dilantik sebagai menteri pembangunan masyarakat dan kesejahteraan rakyat Sabah.

Sebelum ini, kedua-dua mereka itu bersama tiga lagi Adun Umno tidak menyertai gerakan Bung untuk menarik sokongan terhadap Hajiji sebagai ketua menteri.

Dalam pada itu, Bung turut menyifatkan tindakan Hajiji yang merombak Kabinet membelakangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam menubuhkan kerajaan perpaduan.

"Ketua menteri nampaknya membelakangkan pandangan PM untuk menubuhkan kerajaan perpaduan di Sabah, perlu diingat pembentukan kerajaan pusat, Barisan Nasional (BN) merupakan penyumbang kepada kerajaan perpaduan.

"Jangan hanya mengaut keuntungan dan rakyat diabaikan, buatlah perubahan untuk rakyat dan negeri Sabah," katanya.

Dalam rombakan baru Kabinet Sabah, Presiden Star Jeffrey Kitingan dilantik timbalan ketua menteri I merangkap menteri pertanian dan perikanan negeri menggantikan Bung.

Sementara Shahelmey menggantikan Timbalan Presiden PBS Joachim Gunsalam kini dilantik memegang jawatan timbalan ketua menteri II.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.